KUALA LUMPUR 5 Feb - Sime Darby Bhd menyasarkan untuk mencapai pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 11% dalam tempoh lima tahun akan datang dengan memberi tumpuan kepada pelarasan portfolio strategik, pengurusan kos berkesan, dan mengembangkan kehadirannya dalam sektor margin tinggi, kata CIMB Securities.
Katanya, kumpulan itu bersedia untuk mencatatkan prestasi kewangan yang lebih kukuh, didorong pengembangan bahagian perindustriannya, dan pemulihan berterusan segmen motor di China.
Firma penyelidikan itu berkata, bahagian perindustrian kekal sebagai pemacu pendapatan utama syarikat, dengan perkhidmatan penyewaan dan selepas jualan menyumbang 63% daripada hasil bahagian pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24), meningkat daripada 49% pada FY20.
Pengembangan kumpulan kepada perlombongan tembaga, berikutan pemerolehan Cavpower, mempelbagaikan lagi pendedahan perlombongannya melebihi arang batu.
“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan bahagian perindustrian akan menerima manfaat daripada peralihan tenaga global, dan permintaan yang berterusan untuk perkhidmatan sewa dan selepas jualan, menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, CIMB Securities berkata, pemulihan bahagian motor China Sime Darby semakin menarik, dengan bantuan kewangan daripada rakan kongsi utamanya dan usaha penstrukturan semula.
Katanya, bahagian itu mengalami kerugian RM184 juta sebelum faedah dan cukai pada FY24, daripada RM94 juta pada FY23, disebabkan prestasi pengedar lapangan baharu yang kurang baik.
Bagaimanapun, tanda-tanda awal pemulihan muncul pada suku pertama berakhir 30 September 2024 (1QFY25), dengan keuntungan teras RM6 juta sebelum faedah dan cukai.
Walaupun sentimen pelabur kekal berhati-hati, penganalisis melihat potensi peningkatan daripada sinergi integrasi UMW dan penggunaan tanah.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM3 sesaham. - DagangNews.com








