Sime Darby Property diyakini berada di landasan capai sasaran jualan RM4 bilion FY26, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby Property diyakini berada di landasan capai sasaran jualan RM4 bilion FY26, kata penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 Mei — Penganalisis optimis Sime Darby Property Berhad ketika ini sudah berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan RM4 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY26).

 

Perkembangan kukuh tersebut menurut mereka, disokong faktor momentum jualan hartanah industri yang lebih baik serta sumbangan baharu daripada projek pusat data (DC) bina-untuk-pajakan miliknya.


Public Investment Bank (PublicInvest) dan RHB Research masing-masing mengekalkan pandangan positif terhadap prospek kumpulan hartanah itu meskipun persekitaran pasaran hartanah masih lagi mencabar.


Malah PublicInvest mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.55, manakala RHB Research mengekalkan syor 'beli' dengan TP RM2.15 yang membayangkan potensi kenaikan sekitar 50%.


Sementara itu kata PublicInvest, Sime Darby Property merekodkan prajualan RM918.9 juta dalam masa tiga bulan pertama FY26, bersamaan kira-kira 25% daripada sasaran jualan tahunan RM4 bilion.


“Ia turut ada tempahan belum direkodkan bernilai RM1.1 bilion setakat 17 Mei 2026 selain jualan belum dibilkan naik kepada RM4.1 bilion berbanding RM3.9 bilion pada suku sebelum itu,” katanya.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif berkenaan memberikan kadar keterlihatan pendapatan yang semakin kukuh bagi tempoh tiga hingga empat tahun akan datang ke atas kumpulan.

 

Sime Darby Property_DagangNews2026



RHB Research pula menjangkakan prestasi jualan Sime Darby Property terus teguh dalam suku-suku berikutnya apabila sebahagian besar pelancaran projek baharu hanya dibuat pada akhir Mac 2026.


Katanya, kumpulan itu masih mengekalkan pelan pelancaran projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.7 bilion bagi FY26 termasuk projek sulung di Melbourne, Australia bernilai RM900 juta.


“Prestasi jualan bagi tempoh suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) sangat memberangsangkan dengan segmen industri menyumbang kira-kira 53% daripada keseluruhan jualan tersebut,” katanya.


Sepanjang suku berkenaan jelas RHB Research, Sime Darby Property sudah mencatat keuntungan bersih mencecah RM158.8 juta, meningkat sebanyak 34.1% tahun ke tahun (YoY) dan 81.3% suku ke suku (QoQ).


Prestasi tersebut didorong terutama keuntungan nilai saksama RM65.1 juta hasil penyiapan projek DC bina-untuk-pajakan selain sumbangan lebih tinggi daripada segmen pelaburan dan pengurusan aset.


Keuntungan bersih teras kumpulan dianggarkan RM93.7 juta selepas dikecualikan keuntungan luar biasa itu dan dianggap masih dalam jangkaan pasaran memandangkan suku pertama lazimnya perlahan.


"Dari sudut operasi pula, hasil Sime Darby Property susut 8.3% YoY kepada RM799.2 juta akibat sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah dan riadah," kata RHB Research.


Namun begitu, segmen pelaburan dan pengurusan aset kumpulan berkenaan didapati terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan hasil meningkat 39.2% susulan pengembangan portfolio aset.


Ujarnya, kelemahan segmen riadah pula dipengaruhi penutupan sementara KLGCC Convention Centre bagi kerja naik taraf sehingga awal 2026 yang menjejaskan pendapatan makanan, minuman dan acara.


Selain itu, kedua-dua firma tersebut turut berpandangan positif terhadap pelaksanaan Pelan Insentif Jangka Panjang (LTIP) yang mencerminkan keyakinan pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com