Silver Ridge peroleh subkontrak RM4.4 juta pembangunan 2 blok pangsapuri 56 tingkat di Sri Damansara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Silver Ridge peroleh subkontrak RM4.4 juta pembangunan 2 blok pangsapuri 56 tingkat di Sri Damansara

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 AprilSilver Ridge Holdings Berhad menerima surat penganugerahan (LOA) bagi kerja-kerja subkontrak yang berjumlah keseluruhan RM4.36 juta di Bandar Sri Damansara, Selangor.


Tender itu diraih anak syarikatnya, Ingress Delta Construction Sdn Bhd daripada daripada Taghill Projects Sdn Bhd, dengan skop pembekalan dan pengecatan projek pembangunan komersial fasa 1B.


Projek tersebut merangkumi dua blok pangsapuri servis 56 tingkat dengan jumlah keseluruhan 1,268 unit, selain kemudahan termasuk taman atas bumbung serta podium tempat letak kereta bertingkat.


"Tempoh pelaksanaan subkontrak terbaharu berkenaan adalah selama 26 bulan dan kerja-kerja dijadualkan siap menjelang 6 Mei 2028," jelas Silver Ridge dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Skop kerja ini katanya, adalah sebahagian aktiviti perniagaan teras kumpulan dan dijangka menjana secara positif kepada pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 serta masa hadapan.


Syarikat itu turut menjelaskan subkontrak tersebut tidak memberi kesan material terhadap modal saham, pegangan pemegang saham utama, nilai aset bersih sesaham atau tahap penggearan kumpulan.


Lembaga Pengarah Silver Ridge juga memaklumkan yang tiada sebarang kepentingan daripada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan dalam penerimaan subkontrak tersebut.


Secara keseluruhan, lembaga tersebut berpendapat yang subkontrak berkenaan adalah dalam kepentingan terbaik kumpulan itu sendiri. - DagangNews.com