KUALA LUMPUR 10 Feb — Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mempergiat peranan runcit lapangan terbang sebagai pemacu pengalaman pelawat dan perbelanjaan pelancongan menerusi kempen ShopLAH.
Langkah terbaharu itu selari dengan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), dan MAHB memaklumkan inisiatif tersebut diposisikan sebagai kempen runcit lapangan terbang sepanjang masa.
Ia mengintegrasikan pengalaman membeli-belah, menjamu selera dan penceritaan budaya dalam setiap penumpang, sekali gus mengukuhkan lapangan terbang sebagai penyumbang aktif ekonomi pelancongan.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, ShopLAH mencerminkan peranan pengendali lapangan terbang dalam membentuk tanggapan pertama dan terakhir pelawat terhadap Malaysia.

"Di samping itu, kempen ini diharapkan memperkukuh ekosistem komersial menerusi kerjasama rapat dengan pengusaha konsesi, jenama tempatan dan komuniti kreatif," katanya dalam kenyataan.
Melalui pengaktifan runcit sebagai sebahagian daripada perjalanan penumpang, MAHB mengukuh peranan lapangan terbang sebagai pintu masuk menghubungkan pelancongan, perniagaan dan identiti negara.
Mohd Izani menambah, usaha ShopLAH itu adalah dirancang secara rapi selaras dengan aspirasi MAHB dan kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang paling berhubung di rantau Asia Pasifik.
Pada 2025, MAHB merekodkan sejumlah 104.5 juta pergerakan penumpang di seluruh rangkaian domestik dan antarabangsa, menyokong prestasi runcit yang kukuh dengan kira-kira 44 juta transaksi jualan.

"Ia naik 28.8% tahun ke tahun (YoY), dengan jualan makanan dan minuman (F&B) naik 19%, manakala kategori hadiah dan cenderamata melonjak 42%, muncul sebagai segmen terpantas berkembang," ujarnya.
Selain itu, jenama tempatan kini menyumbang 33% daripada kategori coklat dan konfeksi, manakala bagi memperkukuh nilai kepada pelawat antarabangsa, MAHB memperkenalkan Tourist Privilege Card.
Kad ini kata Mohd Izani yang diintegrasikan dalam aplikasi MYAirports, menawarkan diskaun segera, keistimewaan membeli-belah dan ganjaran di outlet runcit serta F&B terpilih bersempena TMM 2026.
Sebagai sebahagian daripada pendekatan yang berasaskan pengalaman, ShopLAH tambah beliau, turut menampilkan beg bebas cukai edisi terhad serta boleh dilipat hasil kolaborasi artis tempatan.
"MAHB juga menjalin kerjasama terpilih dengan jenama global, bagi menjadikan lapangan terbang sebagai destinasi penemuan dan pengalaman bermakna kepada pengembara," katanya. - DagangNews.com








