Shell Malaysia tambah kapasiti penyimpanan Terminal Bahan Api Westport perkukuh keselamatan bekalan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Shell Malaysia tambah kapasiti penyimpanan Terminal Bahan Api Westport perkukuh keselamatan bekalan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Mei - Shell Malaysia Trading Sdn Bhd (SMT) menambah kapasiti penyimpanan di Terminal Bahan Api Westport di Pelabuhan Klang sebagai langkah memperkukuh keselamatan bekalan bahan api negara ketika permintaan terus meningkat di seluruh negara.

 

SMT berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan tiga tangki simpanan baharu bagi petrol dan diesel yang membolehkan terminal itu mengendalikan kapal bersaiz sederhana lebih besar selain meningkatkan kecekapan bekalan bahan api.

 

Pembinaan projek dijadual dimulakan tahun ini secara berfasa dengan terminal yang dinaik taraf dijangka siap sepenuhnya menjelang awal 2028.

 

Pengarah Urusan SMT, Shairan Huzani Husain berkata, peluasan terminal itu dilaksanakan pada waktu yang amat penting ketika isu keselamatan tenaga menjadi semakin kritikal.

 

“Projek ini penting kerana apa yang kami lakukan di terminal ini dan juga terminal lain di seluruh negara memberi kesan kepada cara jutaan rakyat Malaysia bergerak setiap hari.

 

“Majlis pecah tanah hari ini menandakan kemajuan nyata dalam usaha kami menyokong keperluan tenaga negara,” katanya ketika majlis pecah tanah projek itu hari ini.

 

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

 

Shell
Kredit gambar/ Facebook Amirudin Shari

 

Menurut Shairan, pelaburan itu akan membolehkan Shell memperkukuh keupayaan terminal bagi membawa masuk bahan api secara lebih kompetitif, mengendalikan jumlah bekalan lebih besar serta memastikan bekalan kekal stabil di seluruh negara.

 

Beliau berkata, pelaburan tersebut turut mencerminkan komitmen jangka panjang Shell di Malaysia yang telah beroperasi selama 135 tahun.

 

Katanya, keselamatan tenaga bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan penting, justeru Shell bekerjasama rapat dengan kerajaan dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi memastikan bekalan bahan api kepada pengguna sentiasa konsisten.

 

Shairan turut menekankan kepentingan Selangor dalam operasi Shell apabila negeri itu mewakili kira-kira 20% daripada rangkaian mobiliti syarikat.

 

“Apa yang kami bina di sini secara langsung akan menentukan bagaimana kami memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya. - DagangNews.com