Setiakon tuntut RM4.43 juta daripada Mayfair, Thriven rancang tuntutan balas RM1.78 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Setiakon tuntut RM4.43 juta daripada Mayfair, Thriven rancang tuntutan balas RM1.78 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Feb - Pemaju hartanah Thriven Global Bhd mengumumkan bahawa Setiakon Builders Sdn Bhd telah memulakan timbang tara terhadap anak syarikatnya, Mayfair Ventures Sdn Bhd, berhubung dakwaan bayaran yang belum dijelaskan untuk kerja yang telah disiapkan.

 

Setiakon menuntut kira-kira RM4.43 juta yang didakwa masih belum dibayar oleh Mayfair, selain RM2.78 juta faedah lewat. 

 

Mayfair bagaimanapun membantah jumlah yang dituntut.

 

Thriven berkata, kumpulan merancang untuk mengemukakan tuntutan balas terhadap Setiakon berjumlah RM1.78 juta bagi ganti rugi yang telah ditetapkan (LAD), kerana mendakwa kontraktor tersebut telah melambatkan penyelesaian pembaikan kecacatan untuk projek pangsapuri bertingkat 35 tingkat yang dibangunkan oleh Mayfair.

 

"Mayfair turut menuntut bayaran caj perkhidmatan dan dana penyelenggaraan yang perlu dibayar oleh Setiakon," jelas Thriven dalam pemfailan di Bursa Malaysia, semalam.

 

Thriven berkata, Mayfair telah melantik Setiakon sebagai kontraktor utama untuk Fasa Dua projek pangsapuri bertingkat tersebut pada 16 Oktober 2017 dan seterusnya borang kontrak bangunan standard, Borang Kontrak PAM 2006 (dengan Kuantiti), telah dikeluarkan pada 24 April 2018.

 

Thriven menambah, pihaknya juga telah melantik sebuah firma guaman untuk mewakili syarikat dalam prosiding timbang tara tersebut. 

 

Jelasnya, pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting. - DagangNews.com