KUALA LUMPUR 25 Jun - Set tren pertama bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), bakal tiba di Pelabuhan Kuantan pada Oktober ini, menurut pengeluar tren dari Dalian, China.
Naib Presiden CRRC Dalian Locomotive & Rolling Stock Co Ltd, Zhang Jian berkata, penghantaran pertama itu melibatkan empat tren elektrik, masing-masing dua unit untuk pengangkutan penumpang dan kargo.
"Setibanya di Malaysia, tren-tren ini akan melalui ujian prestasi tanpa kegagalan. Bagi unit pertama tren penumpang (EMU), ia perlu menjalani ujian sejauh 8,000 kilometer.
"Tren-tren seterusnya hanya perlu melalui 5,000 kilometer ujian," katanya kepada pemberita Malaysia di kilang pembuatan syarikat itu di Dalian baru-baru ini, seperti laporan The Edge.
Zhang berkata, pihaknya membekalkan dua jenis tren iaitu EMU yang boleh bergerak sehingga 160 kilometer sejam untuk penumpang dan lokomotif elektrik berkelajuan 80 kiometer sejam untuk membawa kargo.
Secara keseluruhan, CRRC Dalian akan menghantar 11 set EMU dan 12 lokomotif elektrik bagi projek ECRL.
Semua tren berkenaan disediakan dengan jaminan selama dua tahun.
Beliau menjelaskan, setiap tren perlu melalui ujian tanpa gangguan, iaitu tren mesti menamatkan jarak ujian tanpa sebarang masalah.
"Jika berlaku gangguan, ujian perlu dimulakan semula dari awal. Ujian ini dijangka mengambil masa sehingga sebulan," jelasnya.
CRRC Dalian menandatangani kontrak dengan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) pada tahun 2022 untuk membekalkan 23 set tren bagi projek tersebut.
Kerja-kerja pembuatan tren dimulakan pada April lalu, dengan ujian percubaan dan pelarasan bersama dijadualkan pada September, sebelum penghantaran pada Oktober depan.
Selain ECRL, syarikat induk CRRC juga terlibat dalam penyewaan 62 set tren kepada KTM Berhad (KTMB) melalui anak syarikatnya, CRRC Zhu Zhou Locomotive Co Ltd.
Perjanjian penyewaan selama 30 tahun itu ditandatangani pada Ogos tahun lalu, dengan anggaran nilai RM10.7 bilion, termasuk penyelenggaraan dan baik pulih tren sepanjang tempoh berkenaan. - DagangNews.com








