SeRenE dan Megamas Resources dari Singapura bina kapal penyelenggaraan kabel dasar laut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SeRenE dan Megamas Resources dari Singapura bina kapal penyelenggaraan kabel dasar laut

Gambar/Semarak Renewable Energy
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Feb - Syarikat Bumiputera, Semarak Renewable Energy Sdn Bhd (SeRenE) menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan marin dan luar pesisir, Megamas Resources dari Singapura bagi membangunkan kapal penyelenggaraan kabel dasar laut.

 

Di bawah kerjasama strategik itu, sebuah syarikat usaha sama baharu, Semarak MIS Sdn Bhd akan ditubuhkan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan kapal cekap bahan api untuk pemasangan dan penyelenggaraan kabel tenaga boleh diperbaharui luar pesisir serta kabel telekomunikasi fiber optik dasar laut.

 

Kerjasama tersebut akan menyokong sektor tenaga angin luar pesisir yang berkembang dengan menguruskan kabel sambungan turbin dan eksport, yang sangat penting untuk menyambungkan ladang angin luar pesisir ke grid elektrik.

 

Selain itu, ia dijangka dapat meningkatkan kemudahan telekomunikasi serantau, memastikan sambungan yang kukuh dan cekap di seluruh Asia Tenggara.

 

Menurut SeRenE, setiap kapal akan mempunyai panjang kira-kira 120 meter, dengan lebar 23 meter dan kapasiti beban maksimum sebanyak 8,000 tan.

 

Reka bentuk kapal berkenaan adalah hasil kerjasama dengan Ulstein Design & Solutions dari Norway, yang menyepadukan teknologi badan kapal terkini untuk mengurangkan pergerakan dan meningkatkan kecekapan operasi, walaupun dalam keadaan laut yang mencabar.

 

Kapal itu dijangka beroperasi bermula pertengahan 2027.

 

Projek tersebut disokong oleh rakan kongsi industri utama termasuk Chalfouh LLC (USA), Crewstone International dan Symphonet.

 

Pengarah Urusan SeRenE, Muhammad Shahil Ishak berkata, kerjasama berkenaan menggabungkan kepakaran tenaga boleh diperbaharui dan kemudahan dasar laut, mempercepatkan rumusan tenaga luar pesisir dan menyumbang kepada masa depan yang lebih bersih dan hijau untuk Asia Tenggara.

 

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan Megamas Resources dan rakan kongsi strategik kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menambah, kerjasama tersebut bukan sahaja akan meningkatkan kemudahan serantau, tetapi juga mencipta peluang pekerjaan baharu, memberi sumbangan besar kepada ekonomi hijau Malaysia.

 

Jelasnya, selaras dengan matlamat kelestarian global, kerjasama itu akan memacu usaha pengurangan karbon dan mempercepatkan penggunaan tenaga bersih di seluruh Asia Tenggara. - DagangNews.com