Seramai 5.4 juta penerima STR dapat bantuan tambahan Sumbangan Asas Rahmah mulai April 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Seramai 5.4 juta penerima STR dapat bantuan tambahan Sumbangan Asas Rahmah mulai April 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Feb - Seramai 5.4 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima bantuan tambahan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mulai April 2025.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR. 

 

Beliau berkata, bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan manakala golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan.

 

 

Pada 15 Januari 2025, kerajaan menyalurkan SARA melalui MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih. 

 

Penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad turut diperluaskan ke negeri Sabah dan Sarawak berbanding hanya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada 2024. 

 

"Kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk 2025 berbanding RM1,200 sebelum ini dengan bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025. 

 

amir
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

 

"Mulai April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada sehingga RM200 sebulan," katanya sebagai menjawab soalan Datuk Andi Mohamad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Amir Hamzah berkata, penggunaan MyKad untuk SARA telah meluas pada tahun lalu. Kita nampak penggunaan lebih 90% di kebanyakan negeri.

 

"Melihat kepada prestasi pelaksanaan program SARA pada 2024 yang turut melibatkan kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia, kadar penggunaan tertinggi telah dicatatkan di Kelantan dan Perlis dengan 97% tuntutan.

 

"Disusuli Terengganu dan Kedah dengan 95% tuntutan melalui penggunaan MyKad dalam pembelian di lebih 700 kedai runcit terlibat," katanya.

 

Setakat 5 Februari 2025, beliau berkata lebih RM50 juta telah dibelanjakan oleh 700,000 penerima SARA kategori miskin dan miskin tegar bagi pembelian barangan keperluan asas di lebih 1,600 pasar raya dan kedai runcit terlibat.

 

Melihat kelancaran itu, beliau berkata, kerajaan bercadang untuk menambah lebih banyak kedai runcit dan pasar raya untuk memberi lebih kesenangan kepada penerima bantuan berkenaan.

 

"Apa yang kerajaan lakukan adalah untuk menambah kedai dan pasar raya yang boleh menggunakan (MyKad) ini agar menyenangkan penerima sedia ada," katanya.

 

Mengulas mengenai perluasan SARA melalui MyKad di Sabah dan Sarawak, Amir Hamzah berkata, ketika ini terdapat 210,000 penerima SARA di kedua-dua negeri berkenaan, masing-masing 110,000 di Sabah dan 100,000 di Sarawak.

 

Setakat 5 Februari 2025, beliau berkata sebanyak 82% penerima isi rumah di Sabah dan 78% penerima isi rumah di Sarawak mula membuat perbelanjaan sejak 15 Januari lalu. - DagangNews.com