Sentimen positif perniagaan Malaysia bakal pacu ekonomi negara, Standard Chartered kekal unjuran KDNK 5% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentimen positif perniagaan Malaysia bakal pacu ekonomi negara, Standard Chartered kekal unjuran KDNK 5%

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - Berikutan pencapaian keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat 2024 (4Q24) Malaysia yang melebihi sedikit daripada jangkaan pasaran, Standard Chartered Global Research mengekalkan unjuran ekonomi negara  pada 2025 sebanyak 5%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan domestik teguh dan peningkatan sentimen perniagaan bakal memacu pertumbuhan negara pada 2025. 

 

"Pelaburan swasta di Malaysia dijangka kekal kukuh, dipacu oleh peningkatan minat pelabur dalam sektor pembuatan.

 

"Walau bagaimanapun, ketidaktentuan perdagangan global, termasuk potensi risiko tarif boleh menjejaskan keyakinan pelabur," katanya dalam nota kajian, hari ini. 

 

Pertumbuhan KDNK 4Q24 susut kepada 5% daripada 5.4% pada Q3 tetapi kekal teguh yang menjadikan pertumbuhan KDNK 2024 kepada 5.1%, meningkat daripada 3.6% pada 2023.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pemacu utama pertumbuhan pada 2024 ialah pelaburan swasta, disokong oleh realisasi berterusan projek baharu dan berterusan.

 

Dalam pada itu, Standard Chartered berkata, pelaburan swasta menyumbang 1.9 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK pada 2024.

 

"Pelaburan swasta berkembang 12.3% pada 2024, peningkatan ketara daripada pertumbuhan 4.6% pada 2023 dan jauh lebih tinggi daripada purata 2017 sehingga 2019 sebanyak 5%.

 

"Minat pelaburan (terutamanya dalam sektor pembuatan) dijangka kekal kukuh, dengan peningkatan 20% pelaburan telah diluluskan naik 20% pada 9M24, menaik daripada 17% pada 9M2023," katanya

.

Selain itu, firma tersebut berkata, perbelanjaan pengguna bertambah baik lagi, menambah 3.1 mata peratusan kepada pertumbuhan 2024 di tengah-tengah pasaran buruh teguh.

 

Katanya, sektor pembuatan terus berkembang, menambah 1.0 mata peratusan kepada pertumbuhan apabila sektor itu mendapat manfaat daripada peningkatan dalam kitaran elektronik global.

 

"Pembinaan menambah 0.6 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK, berdasarkan pertumbuhan menyeluruh merentasi segmen kediaman dan bukan kediaman.

 

"Perbelanjaan pengguna mungkin disokong oleh pasaran buruh sihat ,manakala tekanan luaran boleh kekal lemah kerana ketidaktentuan perdagangan global.

 

"Kami menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2025," katanya. - DagangNews.com