KUALA LUMPUR 31 Mac - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), pemegang saham ketiga terbesar dalam IJM Corporation Bhd dikatakan turut menolak tawaran Sunway Bhd untuk pegangan sahamnya dalam syarikat pembinaan tersebut.
Menurut laporan The Edge, panel pelaburan dana pencen penjawat awam itu telah membincangkan tawaran Sunway dan memutuskan untuk menolaknya awal bulan ini.
KWAP memiliki hampir 10% kepentingan dalam IJM.
“Jawatankuasa berpendapat bahawa tawaran itu tidak adil dan tidak mencerminkan potensi sebenar IJM,” kata laporan berkenaan yang memetik sumber rapat kepada perkara tersebut.
Menurut sumber itu lagi, panel juga merasakan komponen tunai, yang hanya sekitar 10% daripada harga tawaran, adalah tidak wajar.
Tindakan KWAP itu sekali gus menyusuli keputusan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan lain yang dilaporkan turut menolak tawaran Sunway bagi saham IJM.
KWSP, PNB Turut Tolak
Semalam, KWSP pemegang saham terbesar dalam IJM Corporation Bhd, dilaporkan telah menolak tawaran pengambilalihan oleh Sunway selepas menilai tawaran berkenaan dan mendapati harga yang ditawarkan tidak mencerminkan nilai intrinsik IJM.
Pada 16 Mac lalu, Permodalan Nasional Bhd (PNB), yang memiliki kira-kira 13.3% kepentingan dalam IJM, turut mengumumkan bahawa jawatankuasa pelaburannya tidak akan menerima tawaran Sunway atas alasan yang sama, iaitu tidak mencerminkan nilai intrinsik serta potensi pulangan masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM, Datuk Lee Chun Fai sebelum ini menyatakan syarikat sedang menilai beberapa langkah strategik termasuk potensi penyenaraian perniagaan pembinaan dan lebuh raya, selain kemungkinan pelupusan perniagaan konsesi tol di India.
Sehingga akhir 2025, IJM mempunyai buku pesanan berjumlah RM15.3 bilion dan tunai sebanyak RM2.3 bilion, namun prestasi sahamnya masih ketinggalan berbanding syarikat pembinaan lain seperti Gamuda Bhd dan Sunway Construction Group Bhd.
Pada 12 Januari lalu, Sunway mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat pada harga RM3.15 sesaham, melibatkan gabungan 10% tunai dan selebihnya dalam bentuk saham baharu yang diterbitkan pada harga RM5.65 sesaham. - DagangNews.com








