Selepas 5 tahun terhenti, Festival Kenyir Geopark 2025 kini kembali dengan 64 aktiviti pelancongan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Selepas 5 tahun terhenti, Festival Kenyir Geopark 2025 kini kembali dengan 64 aktiviti pelancongan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 31 Okt – Festival Kenyir Geopark 2025 kini kembali dianjurkan selepas lima tahun terhenti akibat pandemik Covid-19, sekali gus menyemarakkan usaha menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi unggul negara.

 

Program anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kerajaan Negeri Terengganu itu berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November di Pulau Poh, Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu.

 

 

 

 

 

 

Pengurus Besar Ketengah, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, lebih 60,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan festival tersebut yang menekankan elemen ekopelancongan, warisan budaya serta gastronomi desa.

 

“Dengan tema ‘Menyusuri Panorama Tasik’, festival kali ini ini turut menjadi platform mempromosikan Tasik Kenyir, yang diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan Kesembilan pada Mei 2023.

 

“Kami menjangkakan potensi pulangan ekonomi sekitar RM1.2 juta menerusi aktiviti keusahawanan, penginapan, pengangkutan dan jualan produk komuniti luar bandar sepanjang program berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t
Gambar Discovery Terengganu

 

Tasik Kenyir yang memiliki 340 pulau, rangkaian air terjun, flora dan fauna unik serta kepelbagaian geologi menjadi tarikan utama pembangunan komuniti setempat berasaskan konservasi alam.

 

Sebanyak lapan program utama merangkumi 64 aktiviti dirangka untuk festival kali ini meliputi sukan air, sukan rakyat, jualan usahawan, Jualan Rahmah MADANI, persembahan budaya dan pentas serta pameran interaktif agensi kerajaan.

 

Antara acara tumpuan ialah Tasik Kenyir Open Water Challenge, pertandingan memancing, tarian tradisional, konsert Fiesta D’Kenyir, pertandingan E-sport dan cabutan bertuah.

 

Aktiviti untuk keluarga turut menjadi perhatian termasuk Fun Run, pertandingan mewarna, persembahan buskers, Kenyir Bike Meet serta pelbagai aktiviti santai bagi pengunjung.

 

Selain itu, program Kenyir Eco Talk dianjurkan sebagai platform perkongsian ilmu mengenai pemeliharaan alam sekitar serta pembangunan mampan di kawasan geopelancongan.

 

 

 

 

 

 

Seramai 112 usahawan tempatan menyertai jualan produk keusahawanan desa bagi meningkatkan pendapatan komuniti setempat dan mengukuhkan ekosistem ekonomi luar bandar.

 

Tambahnya, festival ini turut menjadi pemangkin persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi menonjolkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan ekologi dan geopelancongan terkemuka, sekali gus memperkukuh jenama Kenyir di peringkat antarabangsa. - DagangNews.com