Selangor, Kuala Lumpur catat kes kehilangan pekerjaan tertinggi pada Mac - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Selangor, Kuala Lumpur catat kes kehilangan pekerjaan tertinggi pada Mac - HLIB

Gambar Hiasan
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 April - Selangor dan Kuala Lumpur terus mencatatkan jumlah kes kehilangan pekerjaan (LOE) tertinggi pada Mac, mendahului negeri-negeri lain, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu yang memetik data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata Selangor menyumbang 29.3% daripada keseluruhan kes LOE, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 25.6%, meskipun kadar pengangguran negara kekal stabil.

 

"Malaysia merekodkan sebanyak 5,900 kehilangan pekerjaan pada Mac, susut 21.3% berbanding 7,500 pada Februari, dengan pemberhentian pekerja tertumpu dalam sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi," katanya dalam nota penyelidikan.

 

 

 

 

 

 

Menurut HLIB, penurunan kes kehilangan pekerjaan itu berlaku seiring peningkatan permintaan tenaga kerja, dengan jumlah kekosongan jawatan meningkat kepada 107,000 pada Mac berbanding 96,500 sebelumnya, mencerminkan daya tahan ekonomi domestik.

 

Di peringkat keseluruhan, pasaran buruh Malaysia kekal stabil pada Februari apabila kadar pengangguran kekal pada 2.9% bagi bulan keempat berturut-turut.

 

Guna tenaga turut meningkat sebanyak 0.1% bulan ke bulan, disokong oleh pengambilan pekerja merentasi kebanyakan sektor kecuali perlombongan.

 

Secara tahunan, bilangan penganggur menurun pada kadar lebih pantas iaitu 4.9%, menandakan keadaan pasaran buruh yang semakin pulih secara beransur-ansur.

 

HLIB berkata tenaga buruh terus berkembang, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap prospek pekerjaan, manakala kadar penyertaan kekal tidak berubah pada 70.9%.

 

 

 

 

 

 

Dalam jangka masa terdekat, firma penyelidikan itu menjangkakan pasaran buruh akan terus stabil, disokong oleh permintaan domestik serta aktiviti eksport elektrik dan elektronik yang berterusan.

 

“Dalam persekitaran ketegangan geopolitik semasa, kemerosotan mendadak pasaran buruh dijangka tidak berlaku dalam masa terdekat, namun risiko penurunan masih wujud berikutan persekitaran global yang tidak menentu,” katanya. - DagangNews.com