Sektor utiliti dijangka kekal kukuh didorong permintaan elektrik stabil - BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor utiliti dijangka kekal kukuh didorong permintaan elektrik stabil - BIMB Securities

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Mac - Prospek sektor utiliti dijangka kekal kukuh, dipacu oleh permintaan elektrik yang stabil daripada pusat data (DC), harga bahan api fosil yang stabil, serta peluang daripada mekanisme akses pihak ketiga.

 

BIMB Securities Research berkata, pendapatan korporat syarikat-syarikat berasaskan utiliti bagi suku keempat tahun kewangan 2024 (4Q24) kebanyakannya selaras dengan jangkaan mereka.

 

Katanya, Gas Malaysia Bhd melepasi anggaran firma penyelidikan itu susulan peningkatan jumlah gas asli yang dijual berbanding tahun sebelumnya (y-o-y).

 

Jelas firma tersebut, Malakoff Bhd pula mencatatkan keuntungan yang lebih rendah daripada jangkaan pada suku sama disebabkan oleh penutupan tidak dirancang selama 14 hari di loji tenaga Tanjung Bin akibat masalah getaran yang tinggi, yang menyebabkan bayaran tenaga yang lebih rendah.

 

Ia yang menjangkakan harga arang batu dan gas yang stabil pada masa depan berkata, margin bahan api negatif Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi tahun kewangan 2024 (FY24) menyusut kepada RM154 juta berbanding kerugian RM619 juta pada tahun-tahun sebelumnya.

 

"Ini kerana harga arang batu yang digunakan, dianggap lebih rendah daripada purata harga arang batu bagi tahun itu.

 

"Sebaliknya, margin bahan api Malakoff kembali mencatatkan keuntungan kepada RM533 juta berbanding kerugian RM564 juta pada FY23, disebabkan penggunaan mekanisme nilai boleh dijual bersih," menurut BIMB Securities dalam satu laporan.

 

Tambahnya, Gas Malaysia juga menikmati margin yang baik di sebalik pergerakan harga rujukan Malaysia masih tinggi, meskipun puratanya menurun sebanyak 9.2% berbanding tahun sebelumnya.

 

BIMB Securities berkata, Petronas Gas Bhd (PetGas) pula mencatatkan keuntungan yang hampir rata walaupun kos gas asli sedikit lebih tinggi kerana ia turut menggunakan gas asli dalam operasi untuk loji pemprosesan gas, utiliti atau kemudahan lain.

 

Katanya, pendapatan kumpulan itu kekal stabil sebahagiannya disebabkan oleh kadar cukai efektif yang lebih rendah iaitu 19.7% pada FY24 berbanding 22.6% pada FY23 hasil daripada pengiktirafan pengecualian cukai pelaburan satu kali.

 

"Jika tiada sebarang kejadian luar jangka seperti perang geopolitik, kami menjangka harga bahan api fosil ini akan terus pulih," jelasnya.

 

Selain itu, firma penyelidikan tersebut berkata, TNB mendapat manfaat paling besar daripada pengukuhan ringgit dengan keuntungan pertukaran asing terjemahan sebanyak RM492 juta.

 

Jelasnya, PetGas pula mencatatkan kos pembiayaan yang lebih rendah sebanyak 29% berbanding tahun sebelumnya daripada liabiliti sewa dolar AS untuk terminal regasifikasi LNG di Pengerang, yang juga dibantu oleh penyelesaian awal liabiliti sewa dolar AS bagi terminal regasifikasi LNG di Sungai Udang.

 

BIMB Securities juga menjangkakan permintaan untuk elektrik daripada DC kekal kukuh.

 

"Setakat ini, jumlah permintaan maksimum daripada DC di bawah TNB adalah 5.9GW melibatkan 38 projek dengan 18 projek berjumlah 1.9GW telah siap pada FY24.

 

"Secara asasnya, dengan baki 4GW atau 20 projek yang telah diperoleh dan perjanjian bekalan elektrik yang telah ditandatangani, kami menjangkakan unjuran pertumbuhan kuasa dalam masa terdekat akan kekal kukuh," tambahnya. - DagangNews.com