KUALA LUMPUR 10 Mac – RHB Research mengekalkan penarafan Overweight terhadap sektor tenaga di Malaysia, dengan penekanan kepada syarikat-syarikat utiliti besar dan pemain tenaga boleh diperbaharui.
Firma penyelidikan itu percaya sektor ini menawarkan kestabilan, terutamanya ketika pasaran berisiko tinggi akibat ketegangan geopolitik.
Menurut RHB Research, syarikat besar seperti Tenaga Nasional, YTL Power dan Petronas Gas adalah kurang terdedah kepada risiko luar negara, termasuk turun naik harga bahan api, operasi di luar negara dan kadar tukaran mata wang asing.
“Kerangka terkawal bagi utiliti ini memastikan keuntungan syarikat tetap stabil, dengan hasil dividen antara 4 hingga 5%,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Firma itu berkata YTL Power dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan harga gas kerana ia boleh meningkatkan keuntungan manakala bagi TNB dan Petronas Gas pula, mereka boleh menyesuaikan kos operasi yang menyebabkan sebarang kenaikan kos tidak akan menjejaskan keuntungan syarikat.
“Keputusan kewangan suku keempat 2025 bagi kebanyakan syarikat tenaga menepati jangkaan kami. Daripada sembilan syarikat yang dilaporkan, dua mencatatkan prestasi di bawah jangkaan, dua melebihi jangkaan, manakala selebihnya adalah selaras dengan ramalan.
“Syarikat besar, yang mewakili 71% daripada liputan sektor, menunjukkan prestasi stabil,” katanya.
TNB mencatatkan kadar cukai efektif yang lebih rendah pada suku terakhir 2025, sejajar dengan jangkaan tetapi melebihi anggaran penganalisis lain. Ini menyumbang kepada peningkatan keuntungan, dengan dividen setengah ringgit yang diterjemahkan kepada hasil dividen sekitar 4%.
Bagi YTL Power, prestasi segmen airnya yang kukuh membantu mengimbangi sedikit kelemahan dalam perniagaan penjanaan kuasa. Tambahan pula, kapasiti pusat data syarikat ini dianggarkan menyumbang kira-kira RM60 juta kepada keuntungan kumpulan.
Kenaikan tarif air di Ranhill Utilities dan subsidiari United Kingdom turut menyokong prestasi kumpulan. Namun, firma tersebut berkata Petronas Gas dan Malakoff mencatatkan keputusan di bawah jangkaan.
“Keuntungan Petronas Gas turun 7% tahun ke tahun disebabkan kadar cukai yang lebih tinggi dan kos operasi yang meningkat, manakala Malakoff terjejas oleh gangguan loji arang batu dan masalah teknikal.
“Solarvest dan Samaiden pula mencatatkan prestasi positif dalam sektor solar. Samaiden melepasi jangkaan kami berikutan pengiktirafan progresif beberapa projek utiliti berskala besar, manakala Solarvest mengekalkan prestasi selaras dengan jangkaan dengan pesanan tertunggaknya meningkat 16% suku ke suku kepada rekod tertinggi RM1.5 bilion,” kata RHB Research.
Bagi Ranhill Utilities, keuntungan melebihi jangkaan disebabkan margin lebih tinggi selepas kenaikan tarif, manakala Taliworks Corporation mencatatkan keputusan selaras dengan ramalan.

Kesemua faktor ini menyokong pandangan RHB Research bahawa sektor tenaga adalah defensif dan sesuai bagi pelabur semasa pasaran tidak menentu.
Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, RHB Research berkata terdapat peluang pertumbuhan untuk syarikat tenaga melalui projek loji gas baharu dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
“Tender loji gas baru dijangka bermula 2029 hingga 2031, dengan YTL Power dan Malakoff dijangka menjadi pesaing utama bagi loji 1.4 gigawatt, yang boleh meningkatkan sasaran harga saham masing-masing.
“Selain itu, inisiatif tenaga boleh diperbaharui seperti Projek Solar Berskala Besar dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat dijangka memberi lebih banyak peluang projek untuk Solarvest dan Samaiden.
“Pengiktirafan progresif projek berskala utiliti dan program tenaga hijau korporat dijangka memperkukuh pendapatan bagi separuh kedua 2026,” katanya.
Mengulas tindakan China yang akan menamatkan rebat cukai eksport solar mulai April 2026 pula, firma tersebut berkata ia dijangka meningkatkan sedikit kos panel.
“Bagaimanapun, Solarvest dan Samaiden dijangka dapat mengimbangi kos tambahan ini melalui projek yang telah dirancang dan pengukuhan Ringgit Malaysia terhadap Dolar Amerika Syarikat dan Yuan China,” katanya.
RHB Research berkata risiko kegagalan pembekal panel adalah rendah kerana kedua-dua syarikat mempunyai kontrak dengan pengeluar terkemuka dari China yang berpengalaman dan bereputasi tinggi.
“Ini mengurangkan kebimbangan pelabur mengenai gangguan bekalan. Pelabur perlu mempertimbangkan pengumpulan saham Solarvest dan Samaiden selepas kejatuhan baru-baru ini, kerana penilaian semasa 16 hingga 20 kali nisbah harga kepada pendapatan dianggap sebagai titik masuk menarik berdasarkan unjuran pendapatan yang kukuh.
“Secara keseluruhan, sektor tenaga Malaysia menawarkan kombinasi kestabilan dan peluang pertumbuhan, dengan Tenaga Nasional, YTL Power, Solarvest dan Samaiden sebagai saham pilihan untuk pelabur yang mencari aliran dividen stabil dan pendedahan kepada tenaga boleh diperbaharui,” katanya. - DagangNews.com








