Sektor tenaga cecah paras tertinggi 52 minggu, Maybank IB saran 'beli' Mi Technovation dan THMY | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor tenaga cecah paras tertinggi 52 minggu, Maybank IB saran 'beli' Mi Technovation dan THMY

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Mac – Saham-saham sektor tenaga di Bursa Malaysia terus menjadi peneraju pasaran apabila indeksnya berjaya melonjak ke paras paling tinggi 52 minggu dalam dagangannya semalam.


Bagaimanapun, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), pelabur diingatkan supaya berwaspada memandangkan indikator teknikal menunjukkan keadaan semakin berisiko untuk berlaku ‘overbought’.


Katanya, prestasi kukuh sektor tenaga dipacu sentimen harga minyak yang tinggi susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat, tetapi momentum semasa berpotensi berdepan tekanan pengambilan untung.


“Walaupun sektor tenaga masih mengatasi prestasi, paras teknikal menghampiri zon terlebih beli, menandakan risiko pembetulan teknikal semakin meningkat,” katanya dalam nota Traders’ Almanac.


Sementara itu tambah firma tersebut, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI) bangkit semula semalam apabila minat belian kembali tertumpu kepada kaunter perbankan selepas pembetulan baru-baru ini.


Indeks penanda aras pasaran itu meningkat sebanyak 11.74 mata atau kira-kira 0.69% untuk ditutup pada 1,711.95 mata. Antara penyumbang utama kenaikan ialah Press Metal, CIMB dan 99 Speed Mart.


Sentimen keseluruhan pasaran kata Maybank IB, namun masih berhati-hati dengan sejumlah 608 kaunter rugi mengatasi 564 kaunter untung, mencerminkan penyertaan pelabur yang masih bersikap selektif.


"Kami menjangkakan FBMKLCI akan bergerak dalam julat antara 1,700 hingga 1,720 mata hari ini dengan paras sokongan masing-masing berlegar pada 1,685 dan 1,640 mata," jelas firma penyelidikan itu.


Dari segi dagangan teknikal, ia menyarankan 'beli' Mi Technovation Berhad kerana saham ini dalam julat mendatar yang baharu membentuk corak segi empat tepat berhampiran paras Fibonacci 23.6%.


Situasi ini jelas Maybank IB, menandakan fasa pembetulan mungkin reda, berpotensi menyambung aliran menaik, disokong paras henti rugi (SL) RM2.70, manakala rintangan (R1) RM3.30 dan (R2) RM3.65.


Selain itu, ia mengesyorkan 'beli' THMY Holdings Berhad selepas mencatat paras tertinggi sepanjang masa pada Februari 2026, dengan saham ini mengalami pengambilan untung secara sederhana.


"Lantunan itu namun kukuh dari purata 50 hari serta pembentukan corak ‘bullish engulfing’ memberi potensi kitaran kenaikan baharu dengan SL 99 sen, manakala R1 RM1.20 dan R2 RM1.34," katanya.


Maybank IB turut memilih Globaltec Formation Berhad setelah pembetulan daripada zon terlebih beli, dan minat belian kembali muncul berhampiran paras Fibonacci 61.8%, serta RSI yang sudah mereda.


Tambah firma penyelidikan itu, momentum kenaikan saham kumpulan penyedia rumusan perkhidmatan pembuatan bersepadu ini potensi disambung, dengan SL 78 sen, manakala R1 95 sen dan R2 RM1.06.


Dalam segmen komoditi pula katanya, kontrak aktif niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) dilihat masih lagi meneruskan trend penembusan kenaikan selepas keluar daripada corak ‘double bottom’.


"Harga FCPO kini berada di atas corak awan berbentuk Ichimoku serta melepasi purata pergerakan mudah (SMA) selama 200 hari, menunjukkan struktur teknikal yang semakin kukuh," kata Maybank IB.


Bagi FBM KLCI Futures (FKLI), kontrak semasa harian menunjukkan penstabilan selepas pembetulan tajam yang menembusi paras 1,690 mata, dan menunjukkan kitaran kenaikan baharu belum disahkan.


Secara keseluruhan, firma berkenaan melihat momentum kenaikan masih wujud dalam pasaran, namun dengan keadaan sektor tenaga yang menghampiri zon terlebih beli dan keluasan pasaran yang negative.


Sehubungan itu, Maybank IB menyarankan para pelabur supaya kekal dengan pendirian selektif serta berdisiplin dalam pengurusan risiko. - DagangNews.com