KUALA LUMPUR 12 Jun - CIMB Securities Research mengekalkan penarafan 'overweight' untuk sektor telekomunikasi selepas syarikat-syarikat di bawah kajiannya mencatat prestasi suku pertama 2025 yang hampir sama dengan jangkaan.
Menurut firma penyelidikan itu, semua syarikat telekomunikasi mencapai keuntungan seperti dijangka, kecuali CelcomDigi Bhd yang sedikit kurang kerana cukai dan susut nilai yang lebih tinggi daripada biasa.
Keuntungan sesaham CelcomDigi hanya naik satu peratus berbanding tahun lalu, lebih rendah daripada jangkaan kerana cukai dan susut nilai yang tidak dijangka.
"Dari segi dividen, tiada kejutan besar berlaku. CelcomDigi dan Maxis Bhd masing-masing mengumumkan dividen suku pertama sebanyak 3.7 sen dan 4.0 sen sesaham.
"Telekom Malaysia (TM) dan Time dotCom pula tidak memberi dividen seperti biasa," katanya dalam satu nota kajian.
CIMB Securities menjangkakan, bagi perkhidmatan mudah alih, hasil industri kekal stabil berbanding tahun lalu, selepas mengambil kira perubahan dalam cara pengiraan hasil dan caj sambungan antara rangkaian yang lebih rendah.
Sementara itu, CelcomDigi berjaya menambah pegangan pasaran kepada 59.7 peratus, meningkat 0.3 peratus, manakala pegangan Maxis turun kepada 40.3 peratus, walaupun kedua-duanya menambah pelanggan baharu.
Bagi perkhidmatan tetap seperti jalur lebar, pendapatan meningkat 1.3% pada suku pertama tahun ini.
Namun, CIMB Securities berkata, saingan dalam pasaran jalur lebar masih kuat, menyebabkan pendapatan purata bagi setiap pengguna (ARPU) turun sebanyak 5.4% berbanding suku sebelumnya.
Tambahnya, CelcomDigi terus mendahului dalam penambahan pelanggan baharu, manakala Time juga menunjukkan prestasi yang baik.
"Sebaliknya, TM mencatat pertumbuhan pelanggan dan pendapatan yang lebih perlahan," ujarnya.
CIMB Securities menyenaraikan CelcomDigi dan Maxis sebagai syarikat pilihan utama mereka dalam sektor telekomunikasi ketika ini. - DagangNews.com








