Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri antara tujuh tokoh dilantik sebagai Majlis Penasihat Syariah SC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri antara tujuh tokoh dilantik sebagai Majlis Penasihat Syariah SC

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 Julai - Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merupakan antara tujuh tokoh dilantik menganggotai Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang baharu.

 

Dalam kenyataan hari ini SC berkata, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merupakan lantikan baharu manakala enam lagi ahli yang menganggotai MPS untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029 merupakan lantikan semula.

 

Mereka ialah Profesor Kehormat, Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM (IIiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali; Perunding Syariah (Kewangan Islam), Datuk Dr Ashraf Md Hashim dan Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.

 

Turut dilantik semula Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Timbalan Presiden Penyelidikan, Institut ISRA, Universiti INCEIF, Dr Marjan Muhammad dan Bekas Penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah
Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA), Burhanuddin Lukman.

 

Ditubuhkan pada 16 Mei 1996 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993, MPS merupakan pihak berkuasa untuk menentukan aplikasi prinsip Syariah untuk perniagaan atau transaksi pasaran modal Islam (ICM).

 

Di samping itu, MPS menyokong pertumbuhan pasaran melalui resolusi dan panduan dasar, di samping mengekalkan integriti Syariah.

 

Memastikan ICM Malaysia Kekal Responsif

MPS terdiri daripada cendekiawan Syariah, ahli akademik dan pengamal pasaran terkemuka dengan kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang Syariah, kewangan Islam, pasaran modal dan undang-undang.

 

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata MPS memainkan peranan penting dalam memastikan ICM Malaysia kekal responsif terhadap perkembangan pasaran yang sentiasa berubah, sambil menegakkan prinsip Syariah yang berlandaskan Maqasid alShariah.

 

“Panduan yang diberikan oleh MPS terus menyokong inovasi, kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang ekosistem ICM. Komposisi baharu MPS, dengan kepakaran dan pengalaman kolektif ahlinya, berada
pada kedudukan yang baik untuk menyediakan panduan yang mantap dan berpandangan jauh mengenai hal ehwal Syariah. 

 

"Dengan kepimpinan Islam yang dipandu oleh Maqasid al-Syariah sebagai pembeza utama, MPS akan memacu pertumbuhan dan kepimpinan global ICM Malaysia,” katanya.

 

Bagi pihak SC, Faiz turut merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli MPS yang akan bersara atas sumbangan mereka yang tidak ternilai dan perkhidmatan berdedikasi kepada industri ICM. 

 

“Pandangan dan kepimpinan mereka telah menyumbang ke arah memajukan ICM Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com