Astro tawarkan 271 juta saham kepada pekerja melalui pelan insentif jangka panjang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Astro tawarkan 271 juta saham kepada pekerja melalui pelan insentif jangka panjang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai – Astro Malaysia Holdings Berhad melaksanakan pelan insentif jangka panjang melibatkan pemberian saham kepada pekerja yang layak di bawah Pelan Insentif Jangka Panjang sebagai usaha memperkukuh motivasi dan mengekalkan bakat dalam kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Astro berkata tawaran tersebut melibatkan pemberian saham baharu kepada pekerja dan subsidiari terpilih kumpulan, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.

 

“Pelan berkenaan melibatkan dua komponen utama iaitu Performance Share Units (PSU) dan Restricted Share Units (RSU) yang akan diagihkan berdasarkan pencapaian prestasi individu serta sasaran operasi dan pasaran syarikat.

 

“Di bawah komponen PSU, sebanyak 196,413,399 saham ditawarkan kepada peserta pelan dengan harga rujukan RM0.065 sesaham berdasarkan purata wajaran harga pasaran lima hari sebelum tarikh tawaran.

 

“Bagaimanapun, pemberian sebenar saham PSU tersebut tertakluk kepada tempoh prestasi selama tiga tahun bermula tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 hingga 31 Januari 2029,” katanya.

 

Jumlah akhir saham yang akan diperoleh peserta boleh berubah antara 0 hingga 150 peratus bergantung kepada tahap pencapaian sasaran yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pencalonan, Imbuhan dan Tadbir Urus Korporat (NRCGC) Astro.

 

Bagi komponen RSU pula, sebanyak 74,893,500 saham ditawarkan dengan tempoh peletakan hak bermula seawal tahun kedua, tertakluk kepada prestasi individu dan syarat lain yang ditentukan oleh NRCGC.

 

Astro berkata pelaksanaan pelan ini bertujuan menyelaraskan kepentingan pekerja dengan prestasi jangka panjang syarikat selain menggalakkan pencapaian sasaran operasi yang lebih mampan.

 

Pelan berkenaan juga dilihat sebagai langkah strategik untuk meningkatkan daya saing kumpulan dalam industri media dan hiburan yang semakin mencabar serta berkembang pesat di Malaysia dan rantau ini. - DagangNews.com