KUALA LUMPUR 1 Julai – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Tan Thian Zhi sebagai Pengarah Eksekutif syarikat untuk memperkukuh barisan kepimpinan kumpulan dalam fasa transformasi perniagaan pembinaan dan EPCC.
Pelantikan itu dibuat ketika SCIB sedang memperkemas hala tuju strategiknya untuk memberi tumpuan kepada segmen Pembinaan serta Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC), khususnya di Sabah dan Sarawak.
Michael Tan sebelum ini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 29 Mei 2026 dan pelantikan terbaharu sebagai Pengarah Eksekutif menyaksikan beliau turut menganggotai Lembaga Pengarah syarikat.
SCIB berkata pelantikan tersebut akan memperkukuh keupayaan kumpulan dalam pelaksanaan projek, selain meningkatkan daya saing dalam aktiviti tender bagi mendapatkan projek baharu.
Menurut syarikat, langkah itu juga selaras dengan usaha berterusan untuk membina semula saluran projek, memperluaskan buku tempahan serta mengukuhkan buku tender kumpulan.

Michael Tan mempunyai latar belakang kukuh dalam bidang kejuruteraan awam serta pengalaman luas dalam pelaksanaan projek infrastruktur dan pengurusan operasi.
Beliau berkelulusan Sarjana Sains dalam Pengurusan dari Imperial College London serta Sarjana Kejuruteraan dalam Kejuruteraan Awam dari University College London selain merupakan Jurutera Berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia.
Sebelum menyertai SCIB, beliau berkhidmat sebagai Jurutera Geoteknikal dengan Borneo Highway PDP Sdn Bhd, rakan pelaksana projek bagi Lebuhraya Pan Borneo Sabah, yang merupakan antara projek infrastruktur utama di Malaysia Timur.
Pengalaman beliau turut merangkumi pengurusan projek infrastruktur, pembangunan perniagaan, kepimpinan operasi serta pengurusan kewangan dalam sektor pembinaan.

Sementara itu, Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas SCIB, Datuk Chong Loong Men berkata pelantikan itu akan menambah nilai kepada kumpulan dari segi kepakaran teknikal dan keupayaan pengurusan projek.
Beliau berkata SCIB kini berada dalam fasa transformasi untuk menjadi syarikat pembinaan dan EPCC yang lebih fokus, dengan penekanan terhadap pelaksanaan projek, daya saing tender serta disiplin operasi.
Tambah beliau, pengalaman Michael Tan dalam pelaksanaan projek infrastruktur dan pengurusan pihak kontraktor dijangka membantu SCIB memperkukuh keupayaan untuk menukar peluang tender kepada kontrak yang berjaya diperoleh.
Setakat 31 Mei 2026, SCIB memiliki buku tempahan sekitar RM130.93 juta merangkumi projek di Sabah, Sarawak dan Malaysia Barat manakala buku tender kumpulan dianggarkan berjumlah RM1.14 bilion.
Dalam masa sama, SCIB terus melaksanakan projek sedia ada termasuk kontrak EPCC bernilai RM32.78 juta bagi pembinaan SMK Balaban Jaya di Beluran, Sabah yang melibatkan 18 bilik darjah serta kemudahan berkaitan.
Syarikat yakin pelantikan ini akan memperkukuh keupayaan strategik dan operasi kumpulan dalam menilai, menawar dan melaksanakan projek dengan lebih berkesan, sekali gus menyokong pertumbuhan jangka panjang yang mampan di Malaysia Timur. - DagangNews.com








