Sultan Selangor titah Guan Eng punca kos pelaburan LRT3 dikecilkan, tidak faham keperluan rakyat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sultan Selangor titah Guan Eng punca kos pelaburan LRT3 dikecilkan, tidak faham keperluan rakyat

Foto ihsan Selangor Royal Office
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 JulaiSultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pembukaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam bukan kejayaan dicatatkan mana-mana pihak secara bersendirian.

 

Sebaliknya menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi Selangor Royal Office pada 1 Julai 2026, baginda bertitah, ia hasil kesinambungan beberapa pentadbiran yang mengutamakan kepentingan rakyat.

 

Justeru, baginda tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan mendakwa kejayaan pelaksanaan projek itu hasil usaha mereka semata-mata kerana hakikatnya ia direalisasikan merentasi beberapa pentadbiran.

 

Bagaimanapun baginda menempelak Lim Guan Eng ketika menerajui Kementerian Kewangan pada 2018 apabila skop projek LRT3 dikecilkan atas alasan kononnya ia merupakan projek mega kerajaan terdahulu. 

 

 

 

 

 

 

"Sedangkan beliau dan penasihatnya, Tony Pua tidak memahami tujuan demi memenuhi kehendak serta keperluan rakyat," titah Sultan Selangor sambal menegaskan ia bukan projek untuk bermegah-megah.

 

Sultan Sharafuddin merujuk tindakan bekas menteri berkenaan mengecilkan saiz stesen, mengurangkan jumlah gerabak serta membatalkan lima stesen yang sudah dirancang dalam jajaran rel tersebut.

 

LRT3
Foto ihsan Selangor Royal Office

 

Baginda namun menzahirkan rasa syukur atas kejayaan pelaksanaan projek Laluan LRT3 Shah Alam yang akhirnya menjadi kenyataan selepas melalui pelbagai cabaran, dan memberi manfaat kepada penduduk.

 

Selain itu, Sultan Selangor merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menerima cadangan baginda pada 2015 agar sistem pengangkutan rel itu dibina.

 

"Cadangan ini dikemukakan selepas beta menerima banyak surat daripada suri rumah yang mengadu suami mereka pulang lewat akibat kesesakan lalu lintas terutama di Lebuhraya Persekutuan," titah baginda.

 

Seterusnya Sultan Sharafuddin bertitah, pentadbiran ketika itu turut mengambil langkah segera mengurangkan kesesakan dengan memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau.

 

Projek LRT3 namun titah baginda, tergendala selama lebih 18 bulan selepas pertukaran kerajaan pada 2018 sebelum berdepan dengan kelewatan tambahan dalam tempoh 19 bulan akibat pandemik Covid-19.

 

Sultan Selangor bagaimanapun menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersetuju meneruskan projek berkenaan selepas mengambil alih pentadbiran negara.

 

"Beta turut merakamkan ucapan terima kasih kerana tiada halangan menjejaskan pelaksanaan projek itu, sekali gus memastikan ia dapat disiapkan demi memenuhi keperluan rakyat," titah baginda.

 

 

 

 

 

 

 

Mengakhiri titah, baginda berharap LRT3 mampu mengurangkan kesesakan jalan raya, menyediakan sistem pengangkutan awam pantas, selesa dan selamat, selain menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negeri.

 

Pada masa sama Sultan Sharafuddin berharap projek itu mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara. - DagangNews.com