KUALA LUMPUR 25 Mac - Sektor teknologi Malaysia mengalami tekanan tinggi kesan ketidaktentuan tarif serta sekatan cip kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat selain kemampanan perbelanjaan ke arah projek pusat data kecerdasan buatan (AI), kata Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).
Katanya, sektor itu juga berdepan peningkatan ancaman daripada alatan AI China.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran, namun tiada sebarang tanda-tanda kelewatan dalam pelaburan pusat data Malaysia kerana negara ia kekal sebagai tempat yang menarik kerana berdekatan dengan Singapura.
"Peningkatan permintaan pusat data skala besar didorong peningkatan penggunaa teknologi AI, termasuk pembelajaran mesin, pembelajaran mendalam, pemprosesan bahasa semula jadi dan model bahasa besar.
"Malaysia mempunyai banyak tanah mampu milik dan sambungan gentian yang sangat baik ditambah dengan margin rizab tenaga yang tinggi antara 28% hingga 36%, menjadikannya lokasi yang ideal untuk kemudahan berskala besar ini," katanya dalam satu nota kajian.
PublicInvest berkata, 2025 merupakan tahun pelaksanaan berikutan beberapa siri pelaburan komited oleh penyedia awan global, iaitu, Google, Microsoft, ByteDance, Amazon Web Services dan Oracle dengan saluran paip projek pusat data baharu berjumlah 1,313MW (kapasiti IT langsung 2024: 505MW).
Firma penyelidikan itu percaya, akan terdapat tender terbuka yang aktif dalam jangka masa terdekat untuk pelbagai skop kerja dari pusat data WSTS meramalkan pertumbuhan asas luas bagi semikonduktor pada 2025, dengan peningkatan 11.2%, menjadikan nilai pasaran global dianggarkan sebanyak AS$697 bilion.
Sementara itu, Malaysia merancang untuk mengetatkan kawalan ke atas aliran cip canggih Nvidia berikutan permintaan AS.
"Penilaian teknologi kelihatan menarik, bagaimanapun, keterlihatan pendapatan syarikat teknologi Malaysia kekal lemah memandangkan persekitaran operasi yang mencabar disebabkan oleh faktor luaran," katanya.
Bagaimanapun, terdapat satu lagi kebimbangan mengenai potensi tarif cip AS pada semikonduktor selepas Presiden AS, Donald Trump berkata, pada Februari 2025, beliau berhasrat untuk mengenakan tarif ke atas semikonduktor bermula pada 25% atau lebih tinggi walaupun tidak jelas bila keputusan ini boleh dibuat.
"Dalam konteks ini, kami berpendapat bahawa tidak sepatutnya ada kesan yang ketara ke atas sektor teknologi Malaysia secara keseluruhan memandangkan hanya terdapat segelintir faundri di Malaysia dan hanya dua pemain yang berurusan dengan pasaran AS.
"Selebihnya kebanyakannya terlibat dalam ruang pemasangan, ujian dan pembungkusan, yang merupakan sebahagian daripada proses pembuatan," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor itu.- DagangNews.com








