KUALA LUMPUR 5 Feb - Sektor perladangan mungkin menampilkan hasil lebih baik disokong oleh pendapatan huluan yang lebih baik, manakala pendapatan hiliran diramal kekal lemah, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma penyelidikan itu berkata, syarikat perladangan bakal menyampaikan pendapatan huluan yang lebih baik didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi, bagi mengimbangi penurunan jumlah buah tandan segar (BTS).
Katanya, harga MSM yang tinggi tidak berkemungkinan akan kekal selepas suku pertama 2025 (1Q2025).
"Syarikat perladangan yang menjalankan aktiviti huluan di Indonesia bagi suku tersebut bakal menyaksikan hasil yang lebih baik didorong oleh hasil daripada peralihan dalam corak tanaman di negara itu.
"Disebaliknya, hasil aktiviti hiliran berkemungkinan kekal lemah, terutamanya sub-segmen penapisan, akibat perbezaan cukai eksport antara Malaysia dan Indonesia, serta harga produk sawit yang tinggi pada 4Q2024," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
HLIB mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor perladangan, dengan Johor Plantations Group Bhd (harga sasaran (TP):RM1.35) , Hap Seng Plantations Holdings Bhd (TP:RM2.44) dan IOI Corporation Bhd (TP:RM4.30) sebagai pilihan utamanya.
Hasil suku keempat Hap Seng Plantations berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) dijangka kekal dipacu oleh kenaikan 3.2% pengeluaran BTS volum jualan MSM yang lebih tinggi.
Prestasi suku kedua IOI berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25) dijangka lebih baik didorong oleh pengeluaran BTS yang lebih tinggi, prestasi kukuh daripada Bunge Loders dan subsegmen oleokimia bagi menampungi prestasi lemah subsegmen penapisan.
HLIB mengekalkan andaian harga MSM 2025 hingga 2026 masing-masing sebanyak RM4,000/mt (tan metrik) dan RM3,800/mt, dan mengekalkan pandangan harga MSM akan kekal pada paras tinggi sehingga 1Q2025.
"Unjuran harga semasa kami adalah berdasarkan andaian keadaan cuaca normal (walaupun La Nina berlaku, ia akan menjadi sederhana dan jangka pendek dan biodiesel B40 di Indonesia akan dilaksanakan secara beransur-ansur," katanya.- DagangNews.com








