KUALA LUMPUR 11 Mac - Sektor pengguna dijangka berkembang pada tahun kewangan 2025 (FY25) disokong peningkatan perbelanjaan pengguna domestik dan aktiviti pelancongan yang kukuh.
Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) Securities berkata, sektor makanan dan minuman (F&B) serta runcit, dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan kuasa beli serta kedudukan mereka sebagai peruncit pilihan yang menawarkan nilai untuk wang.
Menurut firma penyelidikan itu, sebanyak 15 syarikat pengguna yang berada di bawah liputannya menunjukkan keputusan yang pelbagai pada suku keempat 2024 (4Q24).
Enam syarikat mencatatkan keputusan melebihi jangkaan iaitu QL Resources Bhd, Spritzer Bhd, Kawan Food Bhd, Padini Holdings Bhd, Hup Seng Industries Bhd dan Rhong Khen International Bhd, sementara tiga syarikat lagi yang berada di bawah jangkaan adalah Nestle (M) Bhd, MR DIY Group (M) Bhd dan Amway (M) Holdings Bhd.
Sementara itu, Farm Fresh Bhd, MSM Malaysia Holdings Bhd, Dutch Lady Milk Industries Bhd, Aeon Co (M) Bhd, Petronas Dagangan Bhd dan Lee Swee Kiat Group Bhd mencatat keputusan yang sepadan dengan unjuran yang dibuat oleh BIMB Securities Research.
BIMB Research berkata, MSM mencatatkan prestasi cemerlang apabila keuntungan bersihnya meningkat 67.2% berbanding tahun sebelumnya (y-o-y) kepada RM71.7 juta pada 4Q24 yang berakhir 31 Disember 2024.
Katanya, secara keseluruhan, pendapatan sektor pengguna untuk suku keempat 2024 (4Q24) bagi 15 saham yang dikaji mengalami peningkatan sebanyak 4.9% berbanding tahun sebelumnya (y-o-y).
Jelas firma penyelidikan itu, peningkatan berkenaan disokong oleh jualan yang lebih tinggi, dipacu oleh penggunaan domestik yang kukuh selaras dengan peningkatan jumlah perdagangan runcit.
Rumah penyelidikan itu menjangkakan peningkatan perbelanjaan pengguna domestik selepas mengambil kira kenaikan pendapatan boleh guna daripada kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam, peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah dan pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bagi aktiviti pelancongan yang dijangka kukuh, BIMB Research berkata, ia akan disokong oleh jangkaan kemasukan pelancong seramai 31.4 juta pada tahun 2025.
"Ia akan diperkukuh dengan 10 penerbangan antarabangsa baharu dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, yang akan meningkatkan perbelanjaan pengguna secara keseluruhan," tambahnya.
Jelasnya, sektor F&B dijangka menjadi penerima manfaat utama daripada peningkatan perbelanjaan pengguna kerana golongan itu kini mempelbagaikan pembelian mereka dan memilih untuk membeli produk premium dalam kategori yang sama.
BIMB Research berkata, walaupun kos input bagi koko, kopi dan harga serbuk susu yang tidak stabil meningkat, ia boleh dikurangkan sebahagiannya melalui penstabilan harga komoditi lain dan strategi kecekapan kos yang sedang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat.
"Kami kekal optimistik terhadap sektor F&B, memandangkan ia merupakan barang keperluan, di mana permintaan tetap stabil walaupun dalam persekitaran yang mencabar," katanya.
BIMB Research mengeluarkan saranan 'beli' bagi saham-saham AEON, MR DIY dan Padini kerana mereka merupakan peruncit yang menawarkan nilai untuk wang, manakala Amway diberikan penarafan 'jual' disebabkan kekurangan motivasi dalam kalangan pemilik perniagaan Amway ekoran insentif yang tidak mencukupi.
Ia juga mengekalkan penarafan 'lebih berat' terhadap sektor pengguna, dengan Farm Fresh, MR DIY dan AEON sebagai pilihan utama.
"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati mengenai risiko pelaksanaan berkaitan rasionalisasi subsidi RON95 yang akan datang, yang boleh membebankan perbelanjaan pengguna dan melemahkan sentimen pengguna.
"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan pendapatan sektor pengguna di bawah liputan kami akan berkembang sebanyak 8% berbanding tahun sebelumnya pada FY25," tambahnya. - DagangNews.com








