Sektor pengangkutan diunjur lebih kukuh harungi ketegangan Timur Tengah, RHB Research naik taraf kepada ‘overweight’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pengangkutan diunjur lebih kukuh harungi ketegangan Timur Tengah, RHB Research naik taraf kepada ‘overweight’

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 April – Ketegangan Timur Tengah yang terus mempengaruhi harga minyak mentah dan rantaian bekalan global masih dilihat menjadi tumpuan utama pelabur tempatan, kata RHB Research.


Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut menyifatkan sektor pengangkutan Malaysia berada dalam kedudukan lebih kukuh daripada jangkaan, serta mampu mengharungi situasi ketidaktentuan semasa.


Sehubungan itu, ia menaik taraf sektor tersebut kepada ‘overweight’ daripada ‘neutral’, susulan lanjutan gencatan senjata Amerika Syarikat (AS)-Iran yang meredakan sedikit kebimbangan pasaran global.


"Tekanan jualan terkini ke atas Westports Holdings Berhad akibat kebimbangan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan sebenarnya membuka peluang kemasukan semula," kata RHB Research dalam analisisnya.


Operator Pelabuhan Klang itu ujarnya, kekal memiliki asas perniagaan kukuh serta unjuran hasil dividen sekitar 4.6% bagi tahun kewangan 2026, selain dilihat masih berupaya untuk berdaya tahan.


Jelasnya, hanya 5% daripada jumlah kontena dikendalikan yang terdedah secara langsung kepada rantau Timur Tengah, manakala perdagangan intra-Asia terus menjadi penyumbang utama sebanyak 62%.


Tambah RHB Research, sebahagian syarikat perkapalan mula mengalihkan kargo ke hab alternatif seperti Westports berikutan kekangan di Selat Hormuz, namun pengurusannya menolak usaha tersebut.


"Tindakan tegas berkenaan melibatkan kontena dengan destinasi akhir yang tidak jelas dilihat bagi mengelakkan kesesakan, sekali gus mengekalkan kepadatan dermaga pada paras sihat 80%," katanya.

 

pelabuhan_DagangNews


Justeru, firma itu mengekalkan unjuran pertumbuhan volum kontena di situ pada kadar 4.5% bagi 2026, selari dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu 4.7%. 


Pada masa sama kata RHB Research, peningkatan kos bahan api kekal risiko utama, tetapi langkah Westports memperkenalkan 60 trak kenderaan elektrik (EV) menjelang suku ketiga 2026 adalah tepat.


Usaha terbaharu berkenaan jelasnya, dijangka mampu dalam mengurangkan lagi penggunaan diesel bagi pengangkutan berat sekitar 10%, sekali gus membantu menampan tekanan kos tinggi di pelabuhan.


"Selain itu, kami memilih Tasco Berhad sebagai antara saham pilihan sektor logistik, berikutan pengembangan kapasiti gudang termasuk pembangunan agresif di Shah Alam dan Northport," ujarnya.


RHB Research turut menilai isu kadar tambang penghantaran global naik 18% sejak konflik Timur Tengah tercetus, khususnya laluan utama seperti Shanghai–Rotterdam dan Shanghai–Los Angeles.


Keadaan ini jelas firma penyelidikan tersebut, berpotensi memberi manfaat kepada pemain logistik kerana kos tambahan secara kelazimannya dipindahkan kepada pelanggan melalui surcaj bahan api.


Ia namun memberi amaran mengenai impak konflik yang berpanjangan sebenarnya boleh mendorong harga minyak mentah meningkat lebih tinggi serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan domestik. 


"Sekiranya tekanan tersebut masih lagi berterusan sehingga tempoh suku ketiga tahun ini, maka pertumbuhan KDNK Malaysia berkemungkinan akan menyederhana kepada sekitar 4%," kata RHB Research.


Secara keseluruhan, sektor pengangkutan dijangka kekal stabil dengan sokongan permintaan domestik dan perdagangan intra-Asia, meskipun berdepan ketidaktentuan luaran yang belum reda. - DagangNews.com