KUALA LUMPUR 17 Mac — Sektor pembuatan Malaysia menunjukkan tanda penstabilan pada separuh kedua 2025 (2H2025) selepas mengalami kelembapan sebelum ini, dengan pemulihan secara beransur-ansur dijangka berlaku pada separuh pertama 2026 (1H2026).
Menurut Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), beberapa petunjuk utama pada 2H2025 termasuk aktiviti perniagaan, pengeluaran dan penggunaan kapasiti mencatatkan peningkatan sedikit melepasi paras neutral 100 mata, menandakan operasi industri mula stabil secara berperingkat.
Bagaimanapun, pemulihan tersebut masih dianggap rapuh merentasi kebanyakan industri berikutan permintaan yang tidak sekata, dengan jualan domestik dan eksport kekal di bawah paras keseimbangan. Walaupun tekanan kos telah berkurangan daripada paras tertinggi sebelum ini, ia masih kekal tinggi dan terus menjejaskan margin keuntungan syarikat.
Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata, secara keseluruhannya sektor itu kini memasuki fasa penstabilan berbanding pemulihan menyeluruh.
“Secara keseluruhan, sektor ini dilihat memasuki fasa penstabilan berbanding pemulihan meluas, apabila syarikat mengekalkan strategi operasi yang berhati-hati dalam keadaan tekanan kos berterusan serta ketidaktentuan permintaan,” katanya dalam taklimat media mengenai Petunjuk Perniagaan FMM pada Selasa.
Indeks aktiviti perniagaan meningkat kepada 103 pada 2H2025 berbanding 77 pada separuh pertama tahun tersebut.
Peningkatan itu turut disokong oleh lonjakan ketara dalam beberapa indeks utama, dengan jualan domestik dan eksport masing-masing meningkat kepada 94 dan 93 daripada 69 dan 77 sebelum ini. Pada masa sama, indeks pengeluaran dan penggunaan kapasiti meningkat kepada 102 daripada 83 dan 80.
Menurut Lee, pengilang kini menjangkakan keadaan operasi akan terus bertambah baik secara beransur-ansur.
Beliau berkata aktiviti perniagaan, pengeluaran dan penggunaan kapasiti dijangka meningkat lebih tinggi melepasi paras neutral, sekali gus menandakan pengembangan sederhana dalam tempoh terdekat.
Namun begitu, permintaan kekal sebagai faktor tidak menentu dalam prospek industri.
FMM menjangkakan jualan domestik terus berdepan ketidaktentuan dan kekal sederhana, manakala pasaran eksport dijangka stabil secara sederhana. Pada masa sama, tekanan kos dijangka kekal tinggi dan berpotensi terus menjejaskan margin keuntungan serta rancangan pengembangan syarikat.
“Secara keseluruhannya, pengilang kekal optimistik secara berhati-hati terhadap prospek jangka terdekat sambil mengekalkan strategi operasi yang berhemah dalam keadaan ketidaktentuan yang berterusan,” tambahnya.
Tinjauan tersebut dijalankan antara 12 Januari hingga 27 Februari 2026 melibatkan 631 responden daripada 15 subsektor pembuatan di seluruh negara.
Majoriti responden terdiri daripada sektor makanan, minuman dan tembakau; elektrik dan elektronik; serta bahan kimia dan produk kimia. Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang mencatatkan penyertaan tertinggi dalam tinjauan tersebut, manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mewakili 70.7% daripada jumlah responden. - DagangNews.com








