KUALA LUMPUR 20 Mac - Sektor pembinaan diramal mencatatkan pemulihan pada suku pertama 2025 disokong momentum pelaksanaan projek yang lebih baik walaupun berdepan keadaan pasaran yang mencabar.
MIDF Research berkata, keyakinan itu disokong kepelbagaian asas pendapatan dan penjanaan aset strategik dalam kalangan pemain utama seperti penjualan tanah IJM Corp Bhd di Pulau Pinang dan pelancaran amanah pelaburan hartanah (REIT) WCT Holdings Bhd.
Katanya, keadaan itu juga disokong kecekapan operasi yang mampan dan pengurusan kos yang berkesan, menyokong pengembangan margin terutamanya dalam kalangan pengeluar bahan binaan.
Firma penyelidikan itu berkata, kekuatan berterusan dalam pembangunan hartanah dan jualan hartanah tidak dibilkan yang lebih tinggi yang memanfaatkan firma pembinaan terpelbagai.
"Selain itu ia juga dipacu kemajuan dalam projek infrastruktur utama, terutamanya pusat data yang disokong buku pesanan mantap peneraju industri seperti Sunway Construction dan IJM Corp.
"Peningkatan aktiviti infrastruktur yang dipacu oleh inisiatif nasional seperti LRT Pulau Pinang, pembesaran lapangan terbang dan projek lebuh raya, meningkatkan keterlihatan pendapatan dan prestasi seluruh sektor sepanjang 2025," katanya dalam satu nota kajian.
MIDF Research berkata, prestasi bagi segmen bahan pembinaan secara relatifnya positif dengan Cahya Mata Sarawak Bhd berada dalam jangkaan dengan pendapatan teras FY24 meningkat 34.3% kepada RM131.4 juta didorong peningkatan margin untung kasar bagi bahagian simen dan bahan pembangunan hartanah.
Keadaan itu juga dipacu oleh kos operasi yang lebih rendah daripada bahagian fosfatnya.
Sementara itu, Malayan Cement melepasi jangkaan dengan pendapatan teras 6MFY25 dan hasil meningkat masing-masing 36.5% dan 0.7%, disebabkan pendapatan yang lebih baik daripada kedua-dua bahagian simen dan konkrit serta penyatuan pendapatan suku tahunan daripada NSL Ltd, selepas pemerolehan Oktober 2024 dimuktamadkan.
Secara keseluruhannya, syarikat pembinaan menghadapi pelbagai keadaan dalam suku keempat 2024, dengan sesetengahnya mendapat manfaat daripada kemajuan kukuh dalam projek infrastruktur dan hartanah, manakala yang lain menghadapi cabaran akibat penyiapan projek dan kelewatan kawal selia.
"Syarikat berprestasi cemerlang seperti WCT Holdings dan Malayan Cement memanfaatkan portfolio terpelbagai mereka, meningkatkan kecekapan operasi dan meningkatkan sumbangan daripada segmen margin lebih tinggi untuk meningkatkan pendapatan.
"Sebaliknya, syarikat berprestasi rendah seperti Malaysian Resources Corporation Bhd terjejas oleh pengiktirafan hasil yang berkurangan berikutan penyiapan projek penting serta sumbangan yang lemah daripada usaha niaga yang sedang dijalankan," katanya.- DagangNews.com








