Sektor pembinaan dipercayai kekal teguh pada 2025 dipacu rangkaian projek pusat data, infrastruktur - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembinaan dipercayai kekal teguh pada 2025 dipacu rangkaian projek pusat data, infrastruktur - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - Sektor pembinaan dipercayai  kekal teguh pada tahun ini, didorong rangkaian projek pusat data dan infrastruktur, kata MIDF Research.

 

Katanya, sektor itu berkembang 23.1% tahun ke tahun pada suku terakhir 2024, bernilai RM42 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia merupakan pengembangan suku ke-11 berturut-turut, disokong pertumbuhan menyeluruh merentas semua subsektor.

 

Bagi tahun penuh, nilai kerja melonjak 20.2% (2023: naik 8.4%) kepada RM158.8 bilion (2023: RM132.2 bilion), menandakan pengembangan dua angka pertama dalam tiga tahun.

 

MIDF Research berkata 23.1% itu merupakan pertumbuhan suku tahunan terpantas sejak suku ketiga 2022, didorong lonjakan ketara dua angka dalam pembinaan kediaman (meningkat 38.9% tahun ke tahun) dan aktiviti perdagangan khas (meningkat 44.9%).

 

Bagaimanapun, pertumbuhan bangunan bukan kediaman adalah perlahan (naik 24.6%) dan kejuruteraan awam (naik 9.3%).

 

Sektor swasta berkembang pada kadar sedikit perlahan sedikit iaitu 32.9%, manakala pengembangan dalam sektor awam berkembang lebih cepat pada 8.8%.

 

Mengikut peratusan bahagian, subsektor kejuruteraan awam kekal sebagai penyumbang terbesar, menyumbang 37% daripada bahagian keseluruhan pada suku tersebut. Ini diikuti oleh bangunan bukan kediaman (28%), bangunan kediaman (24%), dan aktiviti perdagangan khas (11%).

 

Mengikut lokasi, Selangor menyumbang bahagian terbesar sebanyak 22.5%, diikuti Johor (17.7%), Wilayah Persekutuan (11%) dan Sarawak (11.3%). Bersama-sama, wilayah ini menyumbang 62.3% daripada jumlah nilai pembinaan pada suku tersebut.

 

"Secara keseluruhannya, sektor pembinaan Malaysia mencatatkan prestasi kukuh untuk 2024. Ini berikutan pemulihan pasca pandemik dalam sektor pembinaan.

 

"Melihat ke hadapan, kami positif mengenai tinjauan sektor pembinaan, disokong rangkaian projek pusat data dan infrastruktur yang teguh," katanya. - DagangNews.com