KUALA LUMPUR 26 Jun - Sektor automotif dijangka berkembang lebih perlahan tahun ini, dengan jumlah jualan industri (TIV) dianggarkan sekitar 790,000 unit, lebih rendah daripada unjuran awal 810,000 unit.
Menurut BIMB Research, penurunan itu berpunca daripada permintaan pengguna yang lemah dan ketidaktentuan berhubung pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95.
Namun, firma penyelidikan tersebut menjangka pemulihan akan berlaku secara berperingkat pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh promosi jualan, lebih banyak hari bekerja dan kelulusan pinjaman yang stabil.
BIMB Research berkata, sektor automotif masih disokong oleh pelancaran model baharu, peningkatan minat terhadap kenderaan elektrik (EV) dan pembangunan infrastruktur.
Antara model penting yang dijangka dilancarkan pada separuh kedua 2025 termasuk Perodua eMO (EV), Proton X50 dan Saga versi baharu, serta Honda Civic yang dikemas kini.
Pengeluar dari China juga aktif, dengan Chery dijangka melancarkan SUV elektrik iCAUR pada suku ketiga, manakala TQ Wuling merancang untuk memperkenal EV mampu milik bawah RM100,000 menjelang hujung tahun.
"Pelancaran ini akan merangsang permintaan dan meningkatkan persaingan dalam pasaran," katanya dalam satu nota kajian.
Dalam segmen EV, BIMB Research menjangka tahap penerimaannya akan terus meningkat kerana insentif pengecualian cukai import bagi kenderaan siap bina (CBU) masih berjalan sehingga akhir 2025.
Jelasnya, pasaran EV dijangka boleh mencapai pegangan sehingga 4% menjelang hujung tahun, disokong oleh lebih banyak model dan penyertaan jenama tempatan.
Namun, sasaran kerajaan untuk menyediakan 10,000 pengecas awam menjelang akhir tahun ini mungkin sukar, dengan purata pemasangan bulanan perlu mencecah 730 unit.
BIMB Research juga menyatakan, semakan semula duti eksais berdasarkan nilai pasaran terbuka (OMV) bagi kenderaan CKD yang dijadual bermula Januari 2026 mungkin mendorong pengguna membeli lebih awal pada hujung 2025, bergantung kepada pelaksanaan dasar itu.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) pula meramalkan penurunan yang lebih besar, dengan TIV 750,000 unit, susut 8.2% berbanding tahun lalu dan lebih rendah daripada anggaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 780,000 unit.
"Jumlah tempahan kenderaan terus berkurang dalam suku kedua 2025 dan dijangka merosot lagi dalam suku seterusnya kerana sentimen pengguna masih lemah, ekonomi perlahan, serta ketidaktentuan pelaksanaan subsidi petrol pada separuh kedua tahun ini," jelasnya.
HLIB juga menjangkakan keuntungan syarikat automotif akan berkurang pada 2025 ekoran penurunan jualan dan kos operasi yang meningkat, walaupun sebahagiannya disokong oleh pengukuhan ringgit.
Prestasi sektor automotif dalam separuh pertama 2025 menunjukkan trend perlahan.
Menurut data MAA, jualan kenderaan pada Mei lalu naik 12.4% berbanding April kepada 68,000 unit, disebabkan jumlah hari bekerja yang kembali normal selepas cuti perayaan.
Namun, berbanding Mei tahun lalu, jualan turun 3.2%, menjadikan jumlah jualan terkumpul hingga Mei 2025 sebanyak 316,700 unit, iaitu 5% lebih rendah berbanding tempoh sama pada 2024.
Kedua-dua BIMB Research dan HLIB mengekalkan unjuran 'neutral' terhadap sektor tersebut. - DagangNews.com








