Sekatan penghantaran cip AI dari AS, sektor teknologi Malaysia diramal berdepan kesan minimum - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sekatan penghantaran cip AI dari AS, sektor teknologi Malaysia diramal berdepan kesan minimum - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan kesan terhad terhadap sektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) di Malaysia daripada potensi sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) ke negara ini.

 

Katanya, ia adalah kerana pendedahan langsung sektor itu kepada produk berkaitan AI masih berada di paras minimum.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pentadbiran Donald Trump dilaporkan sedang merangka peraturan baharu bagi mengehadkan penghantaran cip AI canggih terutamnya daripada Nvidia ke Malaysia dan Thailand.

 

"Langkah itu sebahagian daripada usaha untuk membendung pengalihan cip yang disyaki ke China melalui Asia Tenggara dan menandakan pendirian penguatkuasaan yang lebih tegas berkaitan sekatan eksport semikonduktor AS yang sedia ada.

 

"Syarikat yang berpangkalan di AS dan negara-negara sekutu dijangka menerima pengecualian sementara selepas peraturan baharu dilaksanakan, manakala beberapa pengecualian lesen akan dikekalkan bagi mengelakkan gangguan besar terhadap rantaian bekalan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Maybank IB berkata, pegawai AS kini semakin memberi tumpuan kepada Malaysia berikutan peranannya yang semakin menonjol dalam pelaburan pusat data AI.

 

Katanya, kes-kes mahkamah di Singapura baru-baru ini berkaitan penghantaran haram telah meningkatkan lagi tahap pengawasan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun masih belum ada sebarang perincian tetapi potensi sekatan lebih meluas mungkin memberi tekanan kepada sentimen perniagaan terutamnya syarikat EMS yang mempunyai pendedahan tinggi kepada produk berkaitan AI seperti Nationgate yang dianggar memperoleh sekitar 88% daripada hasil FY24 daripada produk berkaitan pelayan dengan Malaysia menyumbang sekitar 58% daripada jumlah pendapatan.

 

"Sekatan eksport boleh mengganggu proses onboarding pelanggan dan seterusnya melambatkan proses membuat keputusan, terutamanya bagi syarikat yang merancang untuk meningkatkan pengeluaran produk berkaitan AI.

 

"Tempahan produk AI yang bakal diterima mungkin menghadapi kelewatan pematuhan atau semakan yang lebih ketat.

 

"Syarikat EMS yang beroperasi di Malaysia/Thailand mungkin perlu meningkatkan pelaburan dalam pematuhan, yang berkemungkinan memberi kesan kepada garis masa projek dan struktur kos" katanya.- DagangNews.com