KUALA LUMPUR 24 Mac — Penglibatan VSTECS Berhad dalam segmen robot humanoid dilihat masih belum lagi mampu menyumbang secara material kepada keuntungan jangka pendek kumpulan tersebut sendiri.
Bagaimanapun, menurut AmInvestment Bank (AmInvest), segmen tersebut berpotensi menjadi pemacu strategik baharu yang memperluas pasaran dan kedudukan syarikat dalam ekosistem teknologi semasa.
Kerjasama pengedaran dengan Agibot membuka ruang kepada kumpulan itu menembusi kategori peranti baharu, dan menambah pertumbuhan perniagaan teras pengedaran teknologi komunikasi maklumat (ICT).
“Walaupun robot humanoid belum ada impak ketara kepada pendapatan buat masa ini, ia mengukuhkan kedudukan VSTECS dan menyediakan opsyen pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam nota hari ini.
Justeru, AmInvest mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM6.40, bersandarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sasaran 16 kali bagi unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahun 2027.
Firma itu menjelaskan, pemacu utama hasil kekal tertumpu kepada perbelanjaan prasarana kecerdasan buatan (AI), kitaran naik taraf perkakasan serta kadar penggunaan pengkomputeran awan yang pesat.
Tiga faktor ini kata firma penyelidikan tersebut, dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan teras tahunan terkumpul (CAGR) kepada VSTECS sebanyak 28% bagi empat tahun dari tempoh FY24 hingga FY27.

"Di samping itu, kumpulan penyedia rumusan teknologi ini masih lagi menerima peningkatan margin melalui sumbangan yang lebih tinggi menerusi segmen perusahaan dan perkhidmatan," jelas AmInvest.
Dalam masa sama tambahnya, segmen robot humanoid dilihat sebagai perluasan pasaran boleh capai (TAM) baharu, dengan anggaran industri global mencecah AS$38 bilion (RM150 bilion) menjelang 2035.
Firma itu berpandangan, perkembangan ini berpotensi meningkatkan saiz pasaran VSTECS sekitar 5% apabila teknologi itu mula digunakan sektor perkilangan, gudang dan perkhidmatan secara komersial.
AmInvest namun memberi amaran, dari sudut keupayaan semasa, penggunaan robot humanoid dinilai masih terhad kepada fungsi asas seperti interaksi mudah, demonstrasi pameran dan aktiviti promosi.
"Ia belum mencapai tahap produktiviti tinggi bagi aplikasi industri, dengan cabaran utama masih meliputi keupayaan autonomi, ketepatan operasi dan integrasi aliran kerja sebenar,” jelasnya.
Walaupun begitu, VSTECS dilihat berada pada kedudukan kukuh untuk mengkomersialkan teknologi ini menerusi rangkaian lebih 4,000 rakan niaga, serta hubungan kukuh dengan pelanggan perusahaan.
Kumpulan itu kata AmInvest, turut ada keupayaan sokongan teknikal di seluruh negara, dan kelebihan ini membolehkan kumpulan mempercepatkan penggunaan awal, serta menyediakan demonstrasi lengkap.
Selain itu tambahnya, aktiviti sokongan selepas jualan dan kes penggunaan komersial yang berdaya maju apabila pasaran berkembang dikenal pasti meningkatkan hasil baharu. - DagangNews.com








