Saham Dialog Group digantung Bursa Malaysia setelah merudum lebih 15% sejurus dagangan dibuka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Dialog Group digantung Bursa Malaysia setelah merudum lebih 15% sejurus dagangan dibuka

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Feb - Bursa Malaysia telah menggantung jualan pendek harian saham Dialog Group dalam Jualan Singkat Intra Hari (IDSS) memandangkan penurunan lebih 15% daripada harga rujukan.


Jualan pendek di bawah IDSS hanya akan diaktifkan pada hari dagangan pada Isnin, 17 Februari 2025 jam 08:30 pagi

 

Saham Kumpulan Dialog jatuh sebanyak 35 sen atau 19% kepada RM1.46, terendah sejak Mac 2017.

 

Saham itu didagangkan pada RM1.56 pada 9.05 pagi, memberikan syarikat itu permodalan pasaran RM8.8 bilion. Jumlah dagangan berjumlah 14.76 juta saham setakat ini.

 

Penganalisis bergegas mengurangkan ramalan dan sekurang-kurangnya tiga firma menurunkan syor mereka ke atas saham Dialog, dengan menyatakan bahawa pendapatan teras untuk enam bulan pertama Dialog menyumbang hanya 23% daripada anggaran tahun penuh konsensus.

 

Dialog mengalami kerugian yang tidak dijangka pada suku berakhir Disember 2024, sebahagiannya disebabkan oleh masalah di segmen hilirannya.

 

Penganalisis menjangkakan segmen hiliran Dialog Group kekal tidak menentu,menangguhkan pemulihan pendapatan pada FY25. 

 

MIDF Research berkata, faktor seperti ketidaktentuan semasa dalam pasaran minyak, disumbangkan oleh peningkatan pengeluaran minyak Amerika Syarikat (AS), cadangan tarif perdagangan AS dan ketegangan geopolitik yang berterusan akan memberi tekanan kepada pengeluaran kumpulan petrokimia Dialog.

 

Dialog melaporkan kerugian bersih teras sebanyak RM10.9 juta pada 2QFY25, berbanding keuntungan RM160.2m pada 1QFY25 dan RM145.7m pada 2QFY24.

 

Kerugian ini disebabkan terutamanya oleh kesukaran dalam segmen hiliran, termasuk lebihan kos dalam projek EPCC (Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan & Pentauliahan) dan kerugian RM40 juta daripada gabungan rPETnya

 

Walaubagaimanapun, firma penyelidikan itu optimis dengan peralihan strategi Dialog untuk memberi tumpuan kepada perniagaan Huluan dan Pertengahan, memandangkan sifat kontrak jangka panjang projek dalam segmen ini, aktiviti pengeluaran huluan yang teguh, dan sokongan padu daripada pemain bahan api bersih.

 

"Risiko penurunan kekal pada perubahan yang tidak dapat diramalkan dalam ekonomi global, seterusnya mempengaruhi harga pertukaran wang asing (forex), dan keseluruhan rantaian bekalan termasuk ketersediaan bahan mentah serta tenaga kerja.

 

"Oleh itu, kami menyemak turun daripada saranan beli kepada neutral akibat prospek pendaptan lemah dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM1.90 daripada RM2.72 berdasarkan penilaian diunjurkan FY26," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Dalam nota penyelidikan yang berasingan, PublicInvest berkata, turun naik pendapatan segmen hiliran Dialog didorong oleh proses pentauliahan projek EPCC yang berterusan.

 

"Kerugian ini datang sebagai kejutan negatif, kerana kami pada mulanya menjangkakan peningkatan yang ketara pada FY25 dengan penyiapan projek-projek ini menjelang Jun 2024. 

 

"Selain itu, kerugian ini bakal memberi cabaran kepada Dialog terutamanya dalam penambahbaikan kerja-kerja penyelenggaraan berikutan semakan tarif baharu.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan panggilan Neutral" kami dengan TP yang lebih rendah sebanyak RM1.90 (daripada RM2.12) selepas mencerminkan semakan pendapatan dan peralihan dalam penilaian," katanya.  - DagangNews.com