KUALA LUMPUR 18 Mei – Ranhill Utilities Berhad kembali menjadi perhatian pasaran selepas prestasi kukuh segmen airnya mendorong RHB Research menaikkan harga sasaran (TP) saham syarikat itu.
Menurut firma penyelidikan tersebut, ia ditingkatkan kepada RM2.88 daripada RM2.35, sekali gus mencerminkan potensi kenaikan sekitar 45%, dengan saranan masih lagi dikekalkan sebagai 'beli'.
Situasi positif berkenaan susulan keuntungan teras bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026 (9MFY26) yang mencecah RM125 juta, jauh mengatasi jangkaan mereka dan konsensus pasaran sendiri.
"Prestasi ini dipacu peningkatan ketara margin keuntungan kasar (GPM), terutama segmen air, susulan kenaikan tarif pada Ogos 2025 dan peningkatan permintaan bekalan," kata nota analisis RHB Research.
Segmen tersebut ujarnya, merekodkan hasil suku tahunan paling tinggi pernah dicapai sebanyak RM467 juta bagi tempoh sepanjang 3QFY26, dan meraih keuntungan sebelum cukai (PBT) kira-kira RM78.9 juta.
Tambah firma berkenaan, margin PBT segmen air Ranhill Utilities meningkat kepada 17% berbanding 11% pada 1QFY26 dan 13% pada 2QFY26, disokong pembangunan daripada pelbagai projek pusat data (DC).
RHB Research menambah momentum pertumbuhan itu dijangka berterusan disokong kenaikan permintaan air di Johor susulan pertumbuhan banyak kawasan perumahan baharu, terutamanya di Daerah Johor Bahru.
"Malah, negeri ini sendiri menyasarkan kapasiti bekalan air sebanyak 3,000 juta liter sehari (MLD) untuk dipenuhi menjelang tahun 2030 berbanding hanya sekitar 2,352MLD pada ketika ini," jelasnya.

Daripada jumlah itu, 238MLD dijangka diguna bagi tambahan kapasiti DC 3,400MW, manakala selebihnya berpotensi disalurkan Ranhill Utilities kepada pelbagai sektor industri lain dan kawasan perumahan.
Pada masa sama, kumpulan itu dijangka menerima tambahan kapasiti bekalan air sebanyak 1,100MLD menerusi beberapa loji rawatan air baharu termasuk Semanggar yang dijangka siap pada tahun ini.
Selain itu ujar RHB Research, kira-kira 890MLD lagi dijangka dapat diperoleh daripada tiga lagi loji rawatan air tambahan yang bakal dibangunkan oleh syarikat berkenaan selepas tahun depan pula.
"Susulan prestasi melebihi jangkaan ini, kami menaikkan unjuran hasil Ranhill Utilities bagi FY26 hingga FY28 masing-masing 51%, 42% dan 47%, mengambil kira andaian GPM lebih tinggi," katanya.
Bagaimanapun, firma itu turut mengingatkan kenaikan tarif elektrik masih menjadi risiko kerana setiap peningkatan 1% kos dianggarkan memberi kesan sekitar 1.5% kepada pendapatan syarikat.
Namun RHB Research yakin, kumpulan tersebut dilihat proaktif mengurangkan risiko kenaikan kos bahan kimia dengan memeterai kontrak bekalan jangka panjang pada kadar harga yang telah ditetapkan.
Dari sudut penilaian, saham Ranhill Utilities kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27 sekitar 13.9 kali, menunjukkan ruang penilaian semula yang masih menarik. - DagangNews.com








