Sebanyak 285 daripada 855 projek JKR alami kelewatan, 35 diklasifikasi ‘Projek Sakit’ - Ahmad Maslan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sebanyak 285 daripada 855 projek JKR alami kelewatan, 35 diklasifikasi ‘Projek Sakit’ - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR 18 Mac – Kira-kira satu pertiga atau 285 daripada 855 projek di bawah Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) di seluruh negara dilaporkan mengalami kelewatan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

 

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 35 projek atau 4.1% diklasifikasikan sebagai “projek sakit”, iaitu projek yang lewat lebih 30 hari daripada jadual atau mencatat kemajuan kurang 10% berbanding perancangan asal.

 

Menurut beliau, satu pertiga lagi projek berjalan mengikut jadual, manakala selebihnya berada di hadapan jadual pelaksanaan.

 

“Pegawai JKR perlu mempercepatkan projek yang lewat bagi memastikan penyampaian projek dapat dilakukan tepat pada masanya,” katanya dalam satu majlis di Kuching, Sarawak, lapor Borneo Post Online.

 

Tambahnya, kementerian akan terus memantau pelaksanaan projek bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual, mengekalkan kualiti serta mengelakkan kelewatan berulang.

 

AMJKR
AHMAD Maslan mengadakan lawatan ke salah satu projek Jabatan Kerja Raya di Kuching Sarawak pada Rabu. Gambar / Facebook Kementerian Kerja Raya Malaysia

 

Dalam perkembangan berkaitan, projek pembinaan Bangunan Gunasama Persekutuan di Petra Jaya mencatat kemajuan memberangsangkan apabila berada lebih empat bulan lebih awal daripada jadual.

 

Projek bernilai RM140.79 juta itu telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 17.03%, iaitu 134 hari mendahului jadual asal, dengan tarikh siap ditetapkan pada 28 November 2028.

 

Ahmad berkata, prestasi tersebut mencerminkan pelaksanaan dan pemantauan projek yang berkesan.

 

“Ini perkembangan positif dan kita berharap projek ini dapat disiapkan lebih awal daripada jadual,” katanya ketika lawatan tapak.

 

Projek yang bermula pada 29 November 2024 itu dilaksanakan secara reka dan bina oleh Eastbourne Corporation Berhad, manakala Pasukan Projek Khas 2 JKR bertindak sebagai agensi pelaksana.

 

Bangunan tersebut akan menempatkan 25 agensi persekutuan yang kini beroperasi di premis sewaan di sekitar Kuching, termasuk rumah kedai dan bangunan kerajaan negeri.

 

Pembangunan di atas tapak seluas 10 ekar itu merangkumi bangunan pejabat utama serta kemudahan sokongan seperti bilik mesyuarat, pusat penjagaan kanak-kanak, ruang komersial, surau dan dewan serbaguna, selain infrastruktur seperti parkir, jalan dan laluan pejalan kaki berbumbung.

 

Projek ini dijangka meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dengan menghimpunkan pelbagai agensi di bawah satu bumbung.