SD Guthrie yakin harga sawit tinggi mampu membantu menyerap peningkatan kos operasi - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SD Guthrie yakin harga sawit tinggi mampu membantu menyerap peningkatan kos operasi - CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Mac – SD Guthrie Bhd yakin kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) mampu membantu mengimbangi kos operasi yang meningkat sekiranya harga tenaga kekal tinggi berikutan konflik berpanjangan antara Amerika Syarikat dan Iran, menurut CIMB Securities.

 

Kos operasi tersebut merangkumi peningkatan harga diesel, kos baja serta kos pengangkutan yang berpotensi tergendala.

 

Firma penyelidikan itu berkata kumpulan berkenaan sedang menghadapi kenaikan ketara harga diesel di operasi mereka di Papua New Guinea serta beberapa kelewatan penghantaran minyak sawit ke Timur Tengah, walaupun pendedahan mereka terhadap rantau tersebut adalah terhad.

 

Menurut CIMB Securities, kos baja yang menyumbang kira-kira 27–28 peratus daripada kos langsung telahpun ditetapkan untuk 2026, manakala diesel hanya kurang daripada lima peratus daripada kos.

 

"Perbincangan dengan pembekal masih dijalankan bagi memastikan penghantaran tepat pada masanya," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Bagaimanapun, pihak pengurusan memberi amaran bahawa operasi di Indonesia dan Papua mungkin terjejas sekiranya bekalan diesel terganggu akibat konflik yang berpanjangan.

 

“Walau bagaimanapun, pengurusan yakin kesan tersebut akan diimbangi oleh kenaikan harga CPO, kerana harga tenaga yang tinggi dijangka mendorong negara pengeluar minyak sawit utama meningkatkan mandat biodiesel untuk memperkukuh keselamatan tenaga, sekaligus menyokong permintaan minyak sawit,” kata CIMB Securities.

 

Dalam perkembangan berkaitan, SD Guthrie memaklumkan bahawa 42 peratus daripada pengeluaran minyak sawit Malaysia telah dijual hadapan pada harga RM4,400 setan.

 

Firma penyelidikan mengekalkan saranan “Pegang” terhadap saham SD Guthrie, memandangkan prospek harga CPO yang terus tinggi dan strategi lindung nilai kumpulan yang kukuh. - DagangNews.com