KUALA LUMPUR 5 Nov – SD Guthrie Bhd, mencatatkan kenaikan 22% dalam untung bersih kepada RM935 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY25), disokong oleh keuntungan jualan tanah dan peningkatan hasil segmen hiliran.
Menurut pengeluar minyak sawit terbesar dunia berdasarkan keluasan ladang itu, hasil bagi tempoh berkenaan turut meningkat 2.7% tahun ke tahun kepada RM5.41 bilion, berbanding RM5.27 bilion pada suku yang sama tahun lalu.
Bagaimanapun, tiada dividen diumumkan bagi suku semasa.
"Prestasi suku ketiga kumpulan itu dipacu oleh keuntungan RM435 juta hasil daripada bahagian SD Guthrie dalam jualan tanah seluas 1,195 ekar di Negeri Sembilan kepada Eco Business Park 7 Sdn Bhd," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Eco Business Park 7 merupakan usaha sama industri antara SD Guthrie, Eco World Development Group Bhd dan NS Corporation milik kerajaan negeri dengan dimiliki EcoWorld (55%), SD Guthrie (30%), dan NS Corporation (15%).
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9MFY25), SD Guthrie merekodkan kenaikan 44.2% dalam untung bersih kepada RM2.01 bilion berbanding RM1.39 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan kumulatif meningkat 5.6% kepada RM15.4 bilion, daripada RM14.57 bilion sebelum ini.
Kumpulan itu menjelaskan bahawa prestasi positif tersebut disumbangkan oleh aktiviti jualan tanah strategik, peningkatan margin segmen hiliran, serta pengurusan kos operasi yang lebih baik.
Dalam kenyataannya, SD Guthrie menjangkakan harga minyak sawit mentah (CPO) akan kekal disokong dalam minggu-minggu mendatang berikutan unjuran bekalan yang lebih ketat apabila industri memasuki kitaran pengeluaran rendah bermusim.
“Permintaan minyak sawit dijangka terus kukuh selepas Indonesia mengesahkan rancangan pelaksanaan mandat biodiesel B50,” kata syarikat itu.
“Kumpulan kekal optimis untuk mencapai prestasi kukuh bagi tahun 2025,” menurut SD Guthrie sambil menambah bahawa tumpuan utama akan diberikan kepada usaha membuka nilai daripada aset tanah strategik melalui kerjasama pembangunan dan pelaburan baharu. - DagangNews.com








