KUALA LUMPUR 4 Julai – Scoot akan memulakan penerbangan dua kali seminggu ke Kota Bharu, Kelantan bermula 26 Oktober ini menggunakan pesawat Embraer E190-E2, dengan tambang sehala kelas ekonomi bermula RM258.60.
Syarikat penerbangan itu turut mengumumkan pelancaran perkhidmatan penerbangan baharu ke Da Nang dan Nha Trang di Vietnam.
Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Leslie Thng berkata, pihaknya akan terus mencari peluang baharu dan mengembangkan kehadiran di rantau ini.
"Penambahan kekerapan penerbangan menjelang musim cuti hujung tahun turut menyokong peningkatan permintaan.
"Dengan pelancaran perkhidmatan ke Kota Bharu, Da Nang dan Nha Trang, syarikat kini mengendalikan 115 penerbangan mingguan ke 12 bandar di Malaysia dan 44 penerbangan mingguan ke lima bandar di Vietnam," katanya dalam satu kenyataan.
Penerbangan ke Da Nang akan bermula 20 Oktober sebanyak tiga kali seminggu dan meningkat kepada penerbangan harian menjelang Disember, dengan tambang sehala bermula RM381.27.
Manakala, penerbangan ke Nha Trang akan bermula 21 November sebanyak dua kali seminggu dan meningkat kepada lima kali seminggu menjelang Januari 2026, dengan tambang sehala bermula RM447.58.
Tempahan bagi laluan baharu itu boleh dibuat mulai hari ini melalui laman web dan aplikasi mudah alih Scoot serta saluran lain secara berperingkat.
Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, Scoot merancang untuk melancarkan perkhidmatan ke Medan dan Labuan Bajo di Indonesia serta Okinawa dalam musim Dingin Utara 2025.
Mulai Julai 2025, syarikat juga akan menyesuaikan rangkaian perkhidmatan bagi memenuhi peningkatan permintaan, termasuk ke Clark, Davao dan Manila di Filipina, Jakarta, Hat Yai, serta Perth.
Promosi tambang istimewa ke destinasi terpilih ditawarkan di laman web dan aplikasi mudah alih Scoot dari 8 hingga 13 Julai ini.- DagangNews.com








