SC kemas kini garis panduan pengiklanan produk pasaran modal merangkumi pempengaruh kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC kemas kini garis panduan pengiklanan produk pasaran modal merangkumi pempengaruh kewangan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Mac - Pempengaruh kewangan di media sosial yang mengiklankan produk pasaran modal secara sukarela kini dianggap sebagai pengiklan dan perlu mematuhi garis panduan yang dikemas kini oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Menurut SC, garis panduan yang melibatkan pengiklanan produk dan perkhidmatan pasaran modal itu, hanya akan dikuatkuasakan pada 1 November 2025 bagi memberi masa yang cukup kepada pengiklan untuk membuat persediaan.

 

Katanya, selain peraturan melibatkan pempengaruh kewangan, pengiklan juga bertanggungjawab memastikan aktiviti pengiklanan oleh ejen mereka mematuhi garis panduan.

 

"Peraturan baharu ini turut menekankan penggunaan media sosial untuk promosi kewangan yang semakin meluas," kata SC dalam satu kenyataan.

 

SC mengemas kini garis panduan sedia ada susulan trend pengiklanan terkini, termasuk penggunaan media sosial dan pempengaruh kewangan yang mempromosikan produk dan perkhidmatan pasaran modal. 

 

Selain itu, garis panduan sama melarang individu yang tidak dilesenkan oleh SC daripada menyediakan perkhidmatan pengiklanan di Malaysia.

 

Langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha SC untuk melindungi pelabur selain memastikan pengiklanan bertanggungjawab terutamanya di platform media sosial. - DagangNews.com