The Saujana Hotel Kuala Lumpur lokasi perkahwinan eksklusif yang kian disukai bakal pengantin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

The Saujana Hotel Kuala Lumpur lokasi perkahwinan eksklusif yang kian disukai bakal pengantin

Gambar/FB The Saujana Hotel Kuala Lumpur
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Mac - Dalam usaha memenuhi permintaan pasangan pengantin yang mahukan pengalaman perkahwinan eksklusif yang diperibadikan, The Saujana Hotel Kuala Lumpur menawarkan pakej perkahwinan lengkap yang pasti akan dikenang.

 

Daripada majlis bertemakan taman, tradisional sehinggalah perkahwinan di tepi tasik, hotel tersebut memanfaatkan sepenuhnya lokasi persekitaran yang menarik bagi meraikan pengantin dan tetamu.

 

Pengurus Besar The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Jasmine Ong Li berkata, trend masa kini menunjukkan pasangan pengantin lebih gemar memilih perkahwinan di hotel berbanding dewan biasa.

 

 

Jasmine Ong Li 
                                 Jasmine Ong Li 

 


"Ini terbukti apabila hotel kami sendiri mencatat peningkatan tempahan perkahwinan sebanyak 30% pada tahun ini sahaja melibatkan 120 majlis.

 

"Pasangan pengantin ini bukan sahaja terdiri daripada rakyat tempatan, tetapi juga pelancong asing dari Singapura, Australia dan United Kingdom yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi perkahwinan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau turut memetik laporan oleh The Business Research Company yang menyatakan industri perkahwinan global dijangka berkembang daripada RM965.69 bilion pada 2024 kepada RM 1.07 trilion pada 2025, mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 11.2%. 


 
Katanya, perkembangan global itu juga dapat dilihat di Malaysia, di mana pemimpin industri menjangkakan pertumbuhan yang besar dalam industri perkahwinan. 

 

saujana
Gambar/FB The Saujana Hotel Kuala Lumpur

 

"Pandangan optimis ini turut disokong oleh analisis pasaran perkhidmatan perkahwinan Asia Pasifik. 

 

"Ia memperlihatkan peluang besar bagi The Saujana Hotel Kuala Lumpur untuk meningkatkan perkhidmatan perkahwinan dan meraih bahagian pasaran yang lebih besar dalam industri perkahwinan Malaysia yang semakin berkembang," ujarnya.

 

Li menambah, The Saujana Hotel Kuala Lumpur menawarkan pelbagai pilihan tempat perkahwinan, masing-masing direka khas untuk memenuhi kehendak pengantin daripada pelbagai latar belakang dan budaya.

 

Beliau berkata, antara yang ditawarkan adalah perkahwinan tepi tasik dan taman, dewan besar moden yang baru dinaik taraf, perkahwinan ala BBQ serta restoran yang menyediakan ruang makan eksklusif untuk resepsi bertemakan hidangan Cina dan masakan Itali.

 

saujana
Gambar/FB The Saujana Hotel Kuala Lumpur 

 

"Kemampuan kami untuk menggabungkan gaya perkahwinan tradisional dan moden, menjadikan kami sebagai antara peneraju dalam pasaran perkahwinan Malaysia.

 

"Kami juga komited membantu pasangan pengantin mencipta pengalaman yang luar biasa dan disesuaikan dengan kehendak mereka," jelasnya. - DagangNews.com