KUALA LUMPUR 15 April - Kerajaan Sarawak merancang membina rangkaian perhubungan rel menghubungkan Pelabuhan Samalaju dan Pelabuhan Bintulu, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, cadangan itu sebahagian daripada langkah untuk menjadikan pelabuhan berkenaan dan kawasan sekitarnya hab maritim moden, bersepadu dan bersedia untuk masa hadapan.
"Kajian kebolehlaksanaan kini sedang dijalankan," katanya pada majlis makan malam ulang tahun ke-30 Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) di Bintulu pada Selasa.
Memetik laporan Borneo Post, Abang Johari berkata sistem rel itu akan menghubungkan Bintulu, Kidurong dan Samalaju, sekali gus membentuk rangkaian tiga satelit yang direka untuk meningkatkan pergerakan barangan dan penumpang menggunakan teknologi yang cekap serta mesra alam.
“Ia akan mewujudkan rangkaian untuk menggerakkan barangan dan penumpang dengan pantas menggunakan teknologi hijau,” katanya.
Selain kesalinghubungan fizikal, Abang Johari turut menekankan kepentingan transformasi digital dalam operasi pelabuhan, dengan menyatakan bahawa masa depan pelabuhan terletak pada sistem pintar dan automasi.
“Pelabuhan pintar ialah pelabuhan yang mampu menjangka permintaan, mengoptimumkan operasi dan menyediakan perkhidmatan lancar kepada penggunanya,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa operasi pelabuhan pada masa hadapan akan banyak bergantung kepada sistem pintar, di mana proses seperti dokumentasi kargo, pelepasan kastam dan penyelarasan logistik dikendalikan secara digital bagi meningkatkan kecekapan serta masa pusingan. - DagangNews.com








