KUALA LUMPUR 15 Jan - Sarawak sedang mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam teknologi hidrogen serta penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), dengan sembilan projek utama sedang dalam pembangunan untuk menyokong agenda peralihan tenaga negeri itu.
Penganalisis tenaga Energy Industries Council (EIC), Hazwani Izzati berkata, kemajuan Sarawak dalam teknologi peralihan tenaga, boleh menjadikan negeri tersebut sebagai hab masa depan bagi rumusan tenaga rendah karbon.
Katanya, antara projek yang penting adalah Ladang Solar Terapung Batang Ai 50-megawatt, sistem tenaga boleh diperbaharui hibrid pertama di Malaysia yang menggabungkan tenaga solar dengan Loji Tenaga Batang Ai.
"Selain itu, projek H2ornbill dan H2biscus di Sarawak dijangka menghasilkan kira-kira 240,000 tan metrik hidrogen hijau setahun.
"Sarawak juga merancang untuk menghasilkan hampir 2,000 tan hidrogen hijau untuk kegunaan tempatan. Untuk menyokong skala ini, SEDC Energy Sdn Bhd bekerjasama dengan Gendari untuk membangunkan kemudahan bersama, Sarawak Hydrogen Hub, termasuk saluran paip yang penting," katanya semasa EIC Asia Pacific Annual Breakfast 2025 yang diadakan di sebuah hotel di Kuching pada Selasa.

Tambahnya, kedua-dua projek itu menyasarkan untuk mencapai Keputusan Pelaburan Akhir (FID) tahun ini, disusuli pemilihan kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan melalui proses bidaan.
Pelaburan yang dianggarkan untuk projek-projek berkenaan adalah sekitar RM18.92 bilion.
"Tenaga boleh diperbaharui semakin mendapat momentum di Borneo, dengan setiap wilayah menetapkan sasaran untuk meningkatkan kapasiti tenaga bersih," ujarnya.
Selain itu, Hazwani Izzati menambah, Sarawak turut bercadang mengeksport tenaga boleh diperbaharui sehingga 1,000 gigawatt ke Singapura melalui kabel dasar laut sepanjang 700 kilometer, dengan 70 peratus daripadanya akan merentasi perairan Indonesia.
Jelas beliau, Sarawak Energy Berhad juga baru-baru ini mencatat satu pencapaian penting dengan menghidupkan projek simpanan baterinya di Stesen Janakuasa Sejingkat, yang kini berada di fasa ujian dan pelaksanaan akhir.
Hazwani berkata, pasaran tenaga Asia Pasifik sedang menyaksikan peralihan yang ketara, dengan inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan peralihan tenaga menguasai pengumuman projek pada tahun 2024.
Menurut pangkalan data EIC, kira-kira 800 projek tenaga baharu dilapor di rantau ini, dengan 38 peratus tertumpu kepada teknologi peralihan tenaga seperti hidrogen, simpanan tenaga dan penangkapan karbon.
Secara khusus, bilangan projek peralihan tenaga melonjak dari 114 pada 2023 kepada 305 pada 2024, mewakili peningkatan lebih dua kali ganda.
Sementara itu, tenaga boleh diperbaharui yang matang termasuk solar dan angin darat membentuk 26 peratus daripada jumlah keseluruhan, menandakan kepentingan berterusan komponen asas dalam campuran tenaga bersih.
"Pelaburan yang dijangkakan merentasi sektor tenaga menjelang 2030 diunjurkan mencapai RM11.89 trilion.
"Tenaga boleh diperbaharui yang matang dijangka menyaksikan pelaburan sebanyak RM3.44 trilion, yang menunjukkan pertumbuhan pesat dan sokongan penting untuk masa depan hidrogen hijau," katanya. - DagangNews.com








