KUALA LUMPUR 11 Mac - Sarawak bekerjasama dengan Mitsubishi Heavy Industries (MHI), untuk membina loji janakuasa Turbin Gas Gabungan Kitaran (CCGT) yang mampu menggunakan hidrogen sebagai bahan api di Miri, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga hijau serantau.
Loji berkenaan dijangka memulakan operasi pada penghujung Disember 2027.
Pengurus Besar Kanan Bahagian Perniagaan GTCC Sistem Tenaga di MHI, Takuya Murase berkata, projek itu lebih daripada sekadar loji janakuasa biasa kerana ia menandakan permulaan perkongsian yang lebih mendalam antara Sarawak dan MHI dalam memajukan teknologi hidrogen.
"Kami telah memperoleh pesanan untuk membekalkan loji janakuasa CCGT di Miri, yang direka khas untuk menggunakan hidrogen sebagai bahan api.
"Ini merupakan satu pencapaian penting dalam mengukuhkan masa depan tenaga hijau Sarawak," katanya seperti laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).
Beliau berkata demikian selepas mengunjungi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Turut hadir semasa lawatan itu ialah Naib Presiden Kanan Mitsubishi Power Asia Pacific, Kazuki Ishikura; Pengurus Besar MHI Kuala Lumpur, Daisuke Wakasugi; Pengurus Besar Kanan Mitsubishi Power Asia Pacific, Ong Hui Leong; dan Ketua Cawangan Mitsubishi Power Asia Pacific, Masato Sakamoto.
Mewakili Sarawak ialah Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datu Abang Ahmad Abang Morni dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili.
Murase berkata, pengeluaran turbin gas untuk loji itu akan dimulakan pada tahun 2026, dengan penghantaran ke Sarawak dijangka pada pertengahan tahun yang sama.
Semasa lawatannya yang pertama ke Sarawak, beliau turut menyatakan kekaguman terhadap pertumbuhan ekonomi dan kemudahan pesat negeri tersebut.
"Saya ingin melihat pembangunan pesat Sarawak secara langsung. Saya akan ke Miri esok untuk perbincangan lanjut mengenai projek ini," jelasnya.
Kerjasama itu selaras dengan hasrat Sarawak untuk memimpin inisiatif tenaga hijau di rantau ini, seiring dengan strategi pembangunan ekonomi rendah karbon kerajaan negeri. - DagangNews.com








