KUALA LUMPUR 18 Ogos - Sebarang kenaikan dalam peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2027 serta inisiatif sokongan fiskal lain yang bertujuan merangsang penggunaan mampu meningkatkan sentimen terhadap saham 99 Speedmart Retail Holdings Bhd (99SMART), menurut penganalisis pasaran.
RHB Research berkata, peningkatan peruntukan SARA berpotensi memberi sokongan kepada momentum jualan 99SMART, susulan syarikat itu kini mempunyai kira-kira 3,000 kedai yang berdaftar sebagai kedai panel program berkenaan.
“Sentimen terhadap saham boleh meningkat sekiranya Belanjawan 2027 yang akan datang membawa peruntukan lebih tinggi bagi program SARA dan inisiatif sokongan fiskal lain untuk meningkatkan penggunaan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada 9 Oktober 2026.
Firma itu menambah, pada masa sama, asas perniagaan 99SMART yang berdaya tahan dijangka terus memberikan keterlihatan pendapatan walaupun berdepan persekitaran pasaran yang mencabar, sekali gus menyokong premium penilaian saham tersebut.
RHB Research mengekalkan saranan ‘Beli’ dengan harga sasaran (TP) RM4.02, yang memberikan potensi kenaikan sebanyak 12%, selain hasil FY27F sekitar 2%.
Prestasi Kewangan
Bagi 1H26, 99SMART mencatat keuntungan bersih RM353 juta, meningkat 22% tahun ke tahun (YoY), mewakili 48% daripada unjuran setahun penuh penganalisis dan konsensus.
Hasil bagi tempoh itu melonjak 16% YoY kepada RM6.1 bilion, disokong penambahan bersih 257 kedai baharu atau peningkatan 9%, selain pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) sebanyak 9.1%.
Momentum jualan turut dibantu pelanjutan waktu operasi yang berkuat kuasa pada Julai 2025 serta sokongan fiskal menerusi program SARA.
Margin keuntungan kasar (GPM) 1H26 kekal stabil pada 20%, apabila peningkatan skala operasi mengimbangi inflasi kos.
Pada masa sama, perbelanjaan operasi meningkat 13% YoY, namun pada kadar lebih perlahan berbanding pertumbuhan hasil, menunjukkan leverage operasi yang kukuh walaupun berdepan kenaikan gaji.
Bagi 2Q26, hasil tidak banyak berubah pada RM3.1 bilion secara suku ke suku (QoQ), walaupun 99SMART menambah 65 kedai, yang berkemungkinan dipengaruhi faktor bermusim yang lebih lemah.
Jualan Pukal Sumber Baharu Pendapatan
Sementara itu MBSB Research menyifatkan prestasi kewangan berkenaan sebagai 'pertumbuhan defensif' disokong strategi semasa, namun segmen 99 Bulksales atau jualan pukal semakin menyerlah sebagai pemacu pertumbuhan baharu kumpulan.
Firma penyelidikan mengekalkan saranan ‘BELI’ terhadap 99 Speedmart dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM4.37, berdasarkan 45 kali EPS FY27F sebanyak 9.7 sen.
MBSB Research berkata prestasi 99 Bulksales terus mendapat momentum dengan hasil 1HFY26 melonjak 80.5% YoY kepada RM50.2 juta.
Pertumbuhan kukuh itu disokong peningkatan permintaan e-dagang serta permintaan korporat dan pembelian pukal.
Perkembangan tersebut memberikan satu lagi saluran pertumbuhan kepada 99 Speedmart, khususnya apabila platform berkenaan terus memanfaatkan rangkaian produk serta keupayaan operasi kumpulan untuk memenuhi permintaan pembelian dalam kuantiti lebih besar.
Momentum 99 Bulksales juga berpotensi mengukuhkan kepelbagaian sumber pertumbuhan kumpulan, di samping perniagaan kedai fizikal yang kekal berdaya tahan. - DagangNews.com








