KUALA LUMPUR 26 Feb - Sapura Energy Bhd menerusi Sapura Drilling memperoleh beberapa kontrak baharu bernilai RM3.2 bilion bagi penyediaan pelantar bantuan penggerudian.
Kumpulan itu berkata, Sapura Drilling telah memenangi dua kontrak daripada PTTEP Energy Development Ltd penyediaan pelantar bantuan penggerudian, Sapura T-17 dan Sapura T-18.
"Kedua-dua projek itu akan bermula pada suku kedua tahun kewangan 2026 (FY26), bagi tempoh lima tahun dan lanjutan pilihan selama tiga tahun.
“Pasukan itu juga memperoleh lanjutan kontrak daripada Cabinda Gulf Oil Co Ltd, anak syarikat Chevron, pelantar penggerudian bantuan Sapura Jaya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, lanjutan itu berkuat kuasa mulai November 2024 dan akan diteruskan selama setahun, berakhir pada November 2025.
Selain itu, Sapura Drilling juga dianugerahkan kontrak daripada ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc untuk perkhidmatan pelantar penggerudian Sapura Berani.
"Projek itu, bermula pada suku pertama FY26 (1QFY26), melibatkan penggerudian pembangunan untuk tempoh 30 bulan.
"Satu lagi kontrak diperoleh daripada EnQuest Petroleum Production Malaysia Ltd untuk perkhidmatan pelantar Sapura Esperanza bagi aktiviti penggerudian.
"Kontrak ini bermula pada 1QFY26, meliputi penggerudian empat telaga pembangunan, luar pesisir Malaysia," katanya.
Kemenangan kontrak itu mengukuhkan buku pesanan kumpulan kepada RM8.7 bilion manakala buku pesanan yang dipegang oleh usaha samanya berjumlah RM5.7 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Muhammad Zamri Jusoh berkata, sebagai tambahan kepada kontrak penggerudian, segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C) kumpulan juga memperoleh beberapa projek utama, termasuk pemasangan di Brazil dan projek di Australia, seterusnya menyumbang kepada keseluruhan buku pesanan.
"Kemenangan kontrak ini mencerminkan keupayaan kami untuk menyampaikan rumusan yang dipacu nilai dan mengukuhkan keyakinan pelanggan terhadap Sapura Energy," katanya. - DagangNews.com








