Samenta gesa kerajaan wujudkan mekanisme pemberi maklumat bendung kronisme pembiayaan PKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samenta gesa kerajaan wujudkan mekanisme pemberi maklumat bendung kronisme pembiayaan PKS

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) mencadangkan kerajaan mewujudkan saluran aduan yang lebih telus dan selamat bagi membolehkan sebarang penyelewengan dalam proses kelulusan geran serta pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilaporkan tanpa rasa takut.

 

Presidennya, Datuk William Ng berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan sebarang dakwaan membabitkan salah guna kuasa, pakatan sulit atau kronisme dapat disiasat dengan lebih berkesan oleh pihak berkuasa.

 

Menurut beliau, individu yang mempunyai maklumat mengenai salah laku seharusnya diberikan ruang untuk menyalurkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau unit integriti kementerian berkaitan dengan jaminan identiti serta keselamatan mereka dilindungi.

 

Beliau berkata, kebanyakan agensi yang menguruskan permohonan geran dan pembiayaan kini menggunakan platform digital bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan campur tangan manusia dalam proses membuat keputusan.

 

“Namun, penggunaan sistem digital semata-mata tidak menjamin ketelusan sepenuhnya kerana masih terdapat ruang untuk dimanipulasi oleh pihak yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai prosedur kelulusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan budaya mendapatkan pembiayaan melalui surat sokongan, pengaruh politik atau hubungan tertentu perlu dihentikan.

 

Bantuan PKS Perlu Berasaskan Merit

Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu bantuan kerajaan hanya diberikan kepada usahawan yang benar-benar mempunyai komitmen dan keupayaan.

 

Ini kerana terdapat kes penerima bantuan yang hanya menggunakan dana untuk mengubah gaya hidup termasuk berpindah ke pejabat lebih mewah dan membeli kenderaan baharu sehingga menyebabkan perniagaan gagal. 

 

Menurut William, amalan tersebut telah lama menjejaskan landskap keusahawanan negara apabila bantuan dan dana awam tidak semestinya disalurkan kepada syarikat yang paling berpotensi atau benar-benar memerlukan.

 

Katanya, keadaan itu bukan sahaja menyukarkan PKS yang layak memperoleh akses kepada pembiayaan, malah meningkatkan risiko agensi berkaitan berdepan pinjaman bermasalah akibat kelulusan yang tidak dibuat berdasarkan penilaian merit.

 

Ketelusan Agensi Pembiayaan

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya setiap agensi pembiayaan kerajaan menerbitkan laporan prestasi secara berkala bagi membolehkan orang ramai menilai tahap ketelusan dalam proses kelulusan.

 

Laporan tersebut, katanya, boleh merangkumi maklumat seperti jumlah penerima pembiayaan, kadar kelulusan permohonan, tempoh pemprosesan serta prestasi pembayaran balik mengikut sektor ekonomi.

 

Beliau berpandangan langkah itu mampu memperkukuhkan tadbir urus institusi selain meningkatkan keyakinan usahawan bahawa setiap permohonan dinilai secara adil dan profesional.

 

William berkata, Samenta bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi berkaitan bagi memastikan geran dan pembiayaan kerajaan diberikan kepada PKS yang benar-benar layak berdasarkan keupayaan perniagaan, bukannya pengaruh atau hubungan politik. - DagangNews.com