KUALA LUMPUR 30 Mac – Chin Hin Jitra Sdn Bhd (CHJ Motors), salah satu pengedar motosikal tertua di Utara Malaysia, menyambut ulang tahunnya yang ke-55 dengan melancarkan kempen penghargaan pelanggan bertajuk “Satu Motor, Satu Rumah Impian”.
Kempen ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM1.5 juta, termasuk sebuah kondominium sebagai hadiah utama.
Kempen itu berlangsung dari 27 Mac 2026 hingga 10 April 2027, selama 55 minggu, dengan 55 hadiah mingguan, hadiah suku tahunan, dan hadiah utama kondominium di Myra Alam, Selangor. CHJ Motors menyifatkan kempen ini sebagai salah satu inisiatif penghargaan pelanggan terbesar yang pernah dijalankan oleh pengedar motosikal di Utara Malaysia.
Pengerusi LK Foundation Low Kok Kean berkata motosikal bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi sangat berkait rapat dengan pekerjaan, pendidikan dan kehidupan seharian.
“Kami telah berkembang bersama pelanggan. Ia bukan hanya tentang bilangan motosikal yang dijual, tetapi tentang kehidupan yang kami menjadi sebahagian daripada motosikal tersebut.
“Kempen ini bukan sekadar promosi jualan sebaliknya ia merupakan pengiktirafan terhadap perjalanan pelanggan dari pembelian motosikal pertama hingga impian memiliki rumah sendiri. Hubungan jangka panjang dengan pelanggan menjadi tunjang utama kejayaan syarikat selama 55 tahun,” katanya.
Pelanggan layak menyertai cabutan bertuah dengan minimum pembelian atau perkhidmatan bernilai RM80, termasuk pembelian motosikal baharu, servis motosikal atau memperbaharui cukai jalan dan insurans.
Pemenang mingguan akan diumumkan setiap Khamis melalui TikTok LIVE dan keputusan dipaparkan di Facebook setiap Jumaat.
Cabutan pertama akan diadakan pada 2 April 2026, dan pelanggan yang mengambil pembiayaan dengan kadar faedah bermula 8.68 peratus serta tempoh pinjaman sehingga tujuh tahun turut layak mendapat penyertaan dalam cabutan bertuah tersebut.
Bermula sebagai sebuah kedai motosikal di Jitra kini ia berkembang menjadi 35 cawangan di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak.
CHJ Motors kini mempunyai lebih 250 pekerja dan lebih 500,000 pelanggan, menawarkan jenama motosikal antarabangsa seperti Honda, Yamaha, KTM, Zontes, Vespa dan Modenas.
Hadiah utama kondominium dibangunkan oleh Oriental Interest Berhad (OIB), sebuah syarikat di bawah LK FOUNDATION, yang membolehkan pelanggan berpeluang memiliki rumah impian selain motosikal.
Kolaborasi ini mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong pelanggan di pelbagai peringkat kehidupan.
Selain CHJ Motors, LK Foundation juga mempunyai beberapa jenama lain termasuk JATI, ecoBrown‘s, Brice, C-MART dan Urban Collection. - DagangNews.com








