Samaiden tandatangani PPA 21 tahun dengan TNB untuk Projek Solar LSS5 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Samaiden tandatangani PPA 21 tahun dengan TNB untuk Projek Solar LSS5

gambar/FB Samaiden Group
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Mac - Samaiden Group Bhd menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pembinaan dan pengoperasian kemudahan penjanaan tenaga fotovoltaik solar.

 

Di bawah perjanjian tersebut, anak syarikat milik penuh Samaiden, Samaiden Legasi Timur Sdn Bhd, akan bertanggungjawab untuk menyambungkan loji solar ke rangkaian pengedaran voltan tinggi TNB di tapak projek di bawah program Solar Skala Besar 5 (LSS5).

 

Pengumuman itu dibuat selepas pemilihan Samaiden pada Disember lalu oleh Suruhanjaya Tenaga untuk membangunkan loji solar fotovoltaik berskala besar berkapasiti 99.99 megawatt (MW) di Pasir Mas, Kelantan. 

 

Projek berkenaan termasuk dalam Pakej 3 program LSS5.

 

LSS5 adalah tender ladang solar terbesar di Malaysia setakat ini, yang merangkumi empat pakej dengan jumlah kapasiti 2,000MW. 

 

Pakej 3 dikhususkan untuk projek dengan kapasiti antara 30MW hingga 500MW.

 

Di bawah PPA tersebut, TNB akan membeli hasilan tenaga bersih dari kemudahan Samaiden, yang dihadkan kepada jumlah maksimum kuantiti tahunan yang dibenarkan sebanyak 257,988.14 megawatt-jam (MWh) sepanjang tempoh 21 tahun, bermula dari tarikh operasi komersial yang dijadualkan pada 11 Oktober 2027.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Datuk Choe Pui Hee berkata, projek itu bukan sahaja mewakili pengembangan signifikan bagi portfolio syarikat, tetapi juga aliran pendapatan jangka panjang yang akan menyokong kelestarian kewangan.

 

"Dengan matlamat kerajaan untuk mencapai sasaran penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 70% menjelang tahun 2050, kami berbangga dapat menyumbang kepada visi ini dengan membangunkan satu daripada projek solar terbesar di bawah program LSS5," katanya dalam satu kenyataan.

 

Samaiden menyatakan, pemeteraian PPA berkenaan dijangka tidak memberi kesan material segera terhadap aset bersih dan pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2025. 

 

Namun, kemudahan solar tersebut dijangka menghasilkan pendapatan positif sepanjang tempoh operasi 21 tahun, mengukuhkan asas pendapatan jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com