KUALA LUMPUR 22 Okt - Saham Verdant Solar Holdings Berhad dibuka pada harga 37 sen atau 19% lebih tinggi daripada tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 31 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE, Bursa Malaysia, hari ini.
Saham itu naik setinggi 38.5 sen dan didagangkan pada 38 sen pada 9.10 pagi, selepas lebih 49 juta saham bertukar tangan.
Penampilan yang kukuh berikutan permintaan tinggi terhadap IPO kumpulan yang menyaksikan pelabur runcit terlebih melanggan saham hampir 40 kali ganda, di tengah-tengah pertaruhan terhadap permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga boleh diperbaharui (RE).
"Setiap langkah dalam misi kami jelas, iaitu untuk mengurangkan beban elektrik melalui rumusan solar bertaraf dunia yang membolehkan gaya hidup lestari, sambil memberikan pengalaman pelanggan terbaik,” kata Pengarah Urusan Verdant Solar, Lim Tzer Haur dalam ucapannya semasa majlis penyeraian kumpulan itu.
Verdant Solar terlibat dalam industri solar fotovoltaik (PV) sejak tahun 2015, pada mulanya memasarkan sistem solar untuk kediaman sebelum berkembang kepada perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta operasi dan penyelenggaraan (O&M).
IPO syarikat itu berjaya mengumpul kira-kira RM44 juta untuk Verdant Solar, dan tambahan RM22.8 juta untuk Tzer Haur, isterinya Ng Kel Mynn, serta pemegang saham utama Ong Hsiao Loong yang menjual sebahagian pegangan mereka. Secara keseluruhan, jumlah dana yang dikumpul melalui IPO ialah RM66.8 juta.
Verdant Solar kini memberi keutamaan kepada pertumbuhan jangka panjang dan dengan nilai pasaran sebanyak RM311 juta berdasarkan harga terkini, syarikat tersebut tidak bercadang untuk mengagihkan dividen dalam masa terdekat bagi membolehkan semula pelaburan ke dalam perniagaan.
Mercury Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin, serta ejen penempatan bagi IPO berkenaan.- DagangNews.com








