RHB Research: Kebergantungan kepada pembekal tunggal jadi cabaran besar RNG Tech selepas penyenaraian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research: Kebergantungan kepada pembekal tunggal jadi cabaran besar RNG Tech selepas penyenaraian

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 Jun – Tahap kebergantungan tinggi kepada pembekal tunggal kerusi urut dikhuatiri menjadi cabaran utama RNG Tech Berhad dalam mengekalkan trajektori pertumbuhan syarikat itu.

 

Menurut analisis RHB Research, keupayaan kumpulan tersebut mendapatkan lokasi strategik baharu turut memberi risiko selepas penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 7 Julai 2026 kelak.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan risiko tersebut tidak menjejaskan prospek jangka panjang memandangkan syarikat berkenaan kekal sebagai pengendali terbesar kerusi urut layan diri.

 

"Ia memegang pasaran sebanyak 66.2% dan berada di kedudukan kukuh memanfaatkan perbelanjaan tinggi pengguna terhadap penjagaan diri," jelas RHB Research yang memulakan liputannya ke atas RNG Tech.

 

Tambahnya, kumpulan itu menawarkan pendedahan unik kepada trend kesihatan pengguna, disokong model perniagaan secara automatik sepenuhnya serta ekosistem digital yang lebih mesra pelanggan.

 

Syarikat itu menyasarkan RM16.4 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO), dengan sebahagian besar bagi menambah 1,120 kerusi urut baharu dan menaik taraf 450 kerusi sedia ada dalam tiga tahun.

 

RNG Tech_DagangNews2026

 

Selain itu kata RHB Research, RNG Tech merancang memperluaskan lagi operasi luar negara dengan penambahan 450 kerusi urut baharu di Singapura, Thailand, Kemboja dan Brunei dalam masa terdekat.

 

"Setakat ini, ia mengendalikan 5,611 kerusi urut layan diri di 1,438 stesen dan premis premium merangkumi tujuh negara, disokong sistem pemantauan prestasi dilakukan secara masa nyata," ujarnya.

 

Hasil kumpulan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 15.5% bagi FY25 hingga FY28, dipacu terutamanya oleh pengembangan rangkaian kerusi urut di pasaran yang sedia ada.

 

RHB Research menjangka margin keuntungan RNG Tech pulih selepas tekanan kos akibat pengembangan agresif mula reda, dengan margin keuntungan bersih suku pertama FY26 meningkat kepada 19.9%.

 

Thailand katanya, dijangka mula mencatat keuntungan pada FY26, manakala pengembangan rangkaian dalam pasaran sedia ada diunjur membantu menstabilkan kos operasi kumpulan dalam tempoh terdekat.

 

"Dari sudut kedudukan kewangan, syarikat dijangka mengekalkan kunci kira-kira sihat apabila nisbah gear bersih dijangka susut kepada 0.2 kali selepas IPO, berbanding 0.9 kali pada FY25," tambahnya.

 

Justeru, RHB Research menetapkan nilai saksama RNG Tech pada 15 sen sesaham, mewakili potensi kenaikan sekitar 15% berbanding harga IPO 13 sen sesaham, disokong hasil daripada penyenaraian.

 

Firma itu turut mengunjurkan CAGR sebanyak 33.2% bagi tempoh FY25 hingga FY28 serta dasar dividen minimum 30% daripada keuntungan selepas cukai (PAT). - DagangNews.com