Saham Parkson naik 24.4% selepas pembelian pegangan bernilai RM18.6 juta oleh Irelia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Parkson naik 24.4% selepas pembelian pegangan bernilai RM18.6 juta oleh Irelia

Gambar/Parkson Malaysia
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Jun - Saham Parkson Holdings Bhd naik sebanyak 24.4% sejak 19 Jun 2025, selepas kemunculan pemegang saham utama baharu, Irelia Management Sdn Bhd.

 

Syarikat itu memaklumkan, Irelia Management membeli 78.3 juta saham, iaitu 6.815% pegangan dalam Parkson melalui urus niaga pasaran terbuka antara 20 hingga 24 Jun 2025.

 

"Walaupun harga sebenar tidak dinyatakan, nilai keseluruhan saham tersebut dianggarkan sekitar RM18.6 juta, berdasarkan harga penutup harian saham yang dibeli," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan, Irelia Management dimiliki sepenuhnya oleh NTG Holding Ltd, iaitu syarikat yang memegang aset bagi dana NTG Strategy Fund SP yang diuruskan oleh firma pelaburan swasta, AEI Capital Group.

 

Sementara itu, pegangan dalam Parkson masih dikuasai oleh Pengerusi dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Cheng Heng Jem, yang memiliki 54.57% saham. - DagangNews.com